Kampung Jimah Baru

BIOGRAFI KAMPUNG JIMAH BARU

  • 1.1         Lokasi

Kampung Jimah Baru terletak di Mukim Jimah dalam daerah Port Dickson, Negeri Sembilan.  Kampung ini merupakan projek Rancangan Tanah Negeri yang pertama di Negeri Sembilan.  Pembukaan kampung ini adalah janji pilihanraya  Dr Mohd Said b. Muhammad,[1] wakil rakyat Linggi pada pilihanraya 1959, sebelum menang dan diangkat menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan yang pertama[2]. Malahan ada yang mengatakan tanah yang ingin dijadikan kampung Jimah Baru itu telah dirancang untuk kegunaan lain sebelumnya[3]. Tidak hairanlah ramai peneroka yang terhutang budi  dan selalu menyebut nama  Dr Mohd Said.[4]

Kononnya  nama Jimah merupakan nama seorang perempuan keturunan orang asli. Ada kemungkinan Jimah dan puaknya pernah mendiami kawasan di kampung Jimah Lama atau Jemimah Estate yang lebih dahulu dibuka. Pernah satu ketika kampung Jimah Baru  dikenali sebagai Kg Conggo, Ulu Jimah, Kampung Baru Ulu Jimah dan Kampung Baru Jimah.  Panggilan tersebut berpunca dari siapa yang memanggilnya. Umpamanya  Kg Conggo diberikan oleh penduduk Kg Jimah Lama[5] kerana pada tarikh   peneroka asal berhijrah ke kampong Jimah Baru, pasukan pengaman Angkatan Tentera Malaysia berangkat ke Conggo di bawah bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sebutan “Ulu Jimah” diberikan kerana dalam konteks daerah Port Dickson kawasan ini terletak paling hulu.  Panggilan “Kampung Baru Jimah” juga betul kerana pemakaian kampung baru perkara biasa pada kampung-kampung lain yang baru dibuka. Namun pemakaian “Jimah Baru” akhirnya diterima apabila dilihat dari perspektif “Jimah Lama” yang telah wujud lebih dahulu. Sehingga pertengahan tahun 1980an, Jimah Baru diletakkan di bawah kawasan Parlimen Telok Kemang dan Dewan Undangan  Negeri Jimah. Selepas itu  kampung ini diletakkan di bawah  Parlimen Rasah dan Dewan Undangan Negeri Rantau. Berikutnya semasa persempadanan semula kawasan pilihanraya pada tahun 2003 Kampung Jimah Baru beralih semula ke Parlimen Telok Kemang dan Dewan Undangan Negeri Lukut.

Luas kawasan kampung ialah 295.4 hektar atau 730 ekar. Kampung Jimah Baru bersempadankan Rancangan Tanah Felda Sendayan (Mukim Labu) di sebelah utara, timur dan baratnya, manakala di sebelah selatan ialah ladang Chin Teck dalam Mukim Jimah.Walaupun kampung ini terletak dalam daerah Port Dickson tetapi ia lebih dekat dengan bandar Seremban. Jarak perjalanan ke Seremban iaitu ibu negeri Negeri Sembilan Darul Khusus ialah 10 kilometer, manakala ke bandar Port Dickson ialah sejauh 25 kilometer.

Di peringkat awal kampung ini dikelilingi oleh hutan  tebal kecuali di sebelah selatan yang lebih dahulu diterokai untuk dijadikan ladang/estate getah.  Pada ketika itu  Felda Sendayan masih belum dibuka. Sebatang sungai mengalir dari timur ke barat. Apabila berlaku hujan lebat, air di sungai ini boleh melimpah dan membanjiri kawasan berhampiran. Beberapa anak sungai juga mengalir dari utara yang juga berpunca dari kawasan hutan. Oleh itu beberapa kawasan khususnya berdekatan dengan sungai ini adalah kawasan berpaya.

1.2       Pemilihan Peneroka

Pemilihan untuk diterima sebagai peneroka bagi Rancangan Tanah Negeri Negeri Sembilan yang pertama ini dibuat mengikut garis panduan tertentu. Peneroka haruslah merupakan anak Negeri Sembilan atau  salah seorang dari pasangan tersebut merupakan anak Negeri Sembilan[6]. Hanya mereka yang sudah berumah tangga sahaja yang boleh memohon[7]. Di samping itu mereka yang menetap atau bekerja di daerah Port Dickson sekalipun bukan anak Negeri Sembilan telah diberi keutamaan memandangkan rancangan tanah ini berada di daerah Port Dickson[8].   Iklan untuk menjadi peneroka ini  telah disebarkan di pejabat-pejabat tanah daerah. Temuduga turut diadakan[9].  Menurut pengalaman salah seorang peneroka[10], beliau terpaksa menunggu agak lama kerana calon yang dipanggil untuk temuduga ramai.

1.3       Penerokaan Awal

Kampung ini dibuka dengan rasminya pada 1 September  1960.  Seramai 93 orang sepatutnya melaporkan diri[11].   Pada mulanya peneroka lelaki tiba dahulu  dengan mengikuti jalan melalui ladang getah berhampiran. Jalan tersebut tidak bertar dan melalui kawasan tanah ladang Imam Ahmad sekarang. Jalan itu tamat tidak jauh dari rumah Basir Toladi. Kebanyakan peneroka yang tinggal berdekatan seperti kampung Jimah Lama tiba dengan menaiki basikal dan berjalan kaki[12].  Bagi peneroka yang agak jauh seperti dari kampung Permatang Pasir mereka telah dihantar dengan menaiki lori[13]. Mereka membawa bersama cangkul dan peralatan tani lain sekadar yang terdaya. Mereka melapor diri   dan seterusnya ditempatkan  di  sebuah bangsal panjang yang telah sedia dibina. Bangsal ini terletak di hadapan rumah Basir[14] tidak jauh dari tanah Imam Ahmad. Bekas tapak bangsal tersebut masih boleh dilihat sehingga ke hari ini.

Bangsal ini diperbuat daripada kayu dan beratap zink. Lantainya disimen. Oleh sebab katil tidak disediakan, pangkin telah dibina di atas lantai simen untuk diduduki atau sebagai tempat tidur peneroka.  Pangkin ini dibuat dari papan. Di tengah-tengah bangsal dibuat laluan. Ini bererti pangkin terletak di sebelah laluan yang bersimen. Bersebelahan bangsal ini terdapat kedai yang digunakan oleh pekerja-pekerja yang mendapat tender membuka tanah kampung Jimah Baru. Di sinilah peneroka membeli keperluan khususnya bahan makanan untuk dimasak.

Umumnya umur peneroka adalah dalam lingkungan 20 ke 35 tahun[15]. Peneroka tertua ialah Rahmat[16]dan Long Hulu[17].   Peneroka lain yang   berusia dalam lingkungan 35 tahun ialah seperti Imam Ahmad, Lajis, Amin, Long Hulu, Long Kompot, Abu Samah, Marzuki, Abu Zarin,  Hasan Gurkha, Mokhtar,  Imam Dahlan dan sebagainya.  Mereka yang termasuk dalam kategori muda dan baru berumah tangga   ialah seperti Ahmad Samah, Yusof  Tebing, Musa Abu Yah, Daie dan lain-lain.

1.4         Pemilihan Ketua Peneroka

Sebaik tiba, Mohd  Nor Yahya telah dilantik oleh pihak pemaju sebagai ketua peneroka.  Lantikan dibuat oleh pemaju lebih sesuai memandangkan peneroka belum lagi mengenali antara satu sama lain. Gelaran beliau sebagai Mohd Nor Tok Empat kekal sehingga sekarang. Tugasnya ialah sebagai penghubung antara pihak pemaju, pegawai kerajaan di berbagai-bagai peringkat dengan peneroka. Ketua peneroka juga bertanggungjawab  menjaga kebajikan peneroka sepanjang berada di tanah rancangan. Ketua juga bertanggungjawab  merancang dan menyelia kerja-kerja gotong-royong yang diadakan di peringkat awal.  Perlantikan Mohd Nor sebagai ketua tidak lama iaitu kira-kira  setahun. Kemudian para peneroka sendiri telah memilih ketua baru iaitu  Amin bin Hasan sebagai Ketua Peneroka. Perlantikan Amin bin Hasan kekal sehingga tahun 2000[18].

1.5         Elaun Peneroka

Setiap peneroka diberi elaun RM50.00 sebulan hanya untuk selama setahun sahaja. Hasil dari rayuan peneroka elaun ini telah ditambah kepada RM70.00 sebulan.  Sebelum elaun ini diterima peneroka terpaksa menggunakan  wang simpanan masing-masing untuk membeli keperluan harian. Ada juga kes-kes yang mana peneroka tidak mempunyai wang untuk membeli bahan-bahan makanan ini. Mereka telah diberi pinjam dan akan ditolak dari elaun bulanan yang bakal diterima[19].

1.6         Tugas-Tugas Peneroka

Sebaik tiba, peneroka telah diminta bergotong royong membersihkan tanah kampung.  Pada masa itu tanah kampung masih lagi dilitupi oleh hutan tebal.   Kerja-kerja membersih tanah kampung ini dilakukan dengan peralatan yang dibawa. Pihak pemaju juga membantu menyediakan peralatan kerja. Setiap pagi peneroka akan dikumpulkan. Harun selaku penyelia Pejabat Tanah dan Galian Negeri akan memberi taklimat ringkas dan membahagikan peneroka kepada kumpulan-kumpulan kecil. Kerja akan dimulakan lebih kurang jam  7.00 pagi  dan tamat lebih kurang jam 4.00 petang.  Mereka diberi pelepasan rehat pada jam 11.45 pagi hingga 2.00 petang   untuk memasak sendiri makanan masing-masing, makan tengahari  dan bersolat[20].

1.7         Aktiviti Selepas Kerja

Aktiviti selepas kerja sangat terhad. Sebaik kembali ke bangsal, peneroka akan mandi dan mencuci pakaian/peralatan. Ada di antara yang berehat melepaskan lelah. Setiap hari khamis, terdapat sebilangan peneroka yang ingin kembali ke kampung halaman masing-masing. Tujuan mereka sebenarnya ialah hendak bersolat Jumaat di samping bertemu anak dan isteri. Mereka akan datang kembali ke tanah rancangan selepas selesai solat Jumaat. Kemudian timbul cadangan untuk  membina masjid. Imam Ahmad dan Abu Zarin telah ditugaskan berjumpa Mufti Negeri Sembilan ketika itu iaitu Haji Ahmad untuk mendapatkan sumbangan. Mereka diberi RM250.00[21]. Sebagai tambahan peneroka  juga telah mengadakan kutipan sesama sendiri   bagi membeli keperluan pembinaan seperti zink, simen, paku dan papan.  Peneroka juga telah bergotong royong menebang kayu dari hutan untuk dijadikan  beberapa bahagian masjid. Untuk menentukan arah kiblat, peneroka telah menjemput Haji Osman seorang guru sekolah pondok di Rembau[22].Tapak  masjid ini hanyalah beberapa rantai sahaja dari bangsal.   Pada tahun 1961 masjid ini telah boleh digunakan. Imam pada masa itu ialah Hamzah dan beliau telah berkhidmat selama setahun sebelum digantikan oleh Imam Ahmad sehingga tahun 2000.

Peneroka juga telah bergotong royong untuk mendirikan perigi berhampiran masjid. Perigi ini digunakan sebagai tempat mengambil wudhu’, bekalan minuman  dan mandi. Dengan adanya masjid, aktiviti keagamaan mudah dilakukan.

1.8         Agihan Tanah Kampung

Agihan tanah kampung dibuat lebih kurang tiga @ empat bulan selepas ketibaan peneroka. Agehan dibuat secara undi[23]. Namun terdapat segelintir yang tidak menyedari proses ini dibuat kerana tiba lewat[24]. Perasaan peneroka bercampur baur selepas pengundian. Ada yang merasa gembira kerana tanah kampung mereka berada di tempat yang strategik dan keadaan muka buminya sangat sesuai untuk kediaman dan pertanian. Terdapat juga peneroka yang bersedih apabila mendapati tanah yang diperuntukkan kepada mereka merupakan tanah paya atau tanah curam yang kurang sesuai untuk tempat tinggal dan pertanian. Bagaimana pun hanya beberapa kes  rayuan sahaja yang dilayani kerana tanah yang diberikan untuk pembangunan kampung Jimah Baru juga terhad.   Sebaik mengetahui kawasan kampung masing-masing, peneroka mula mendirikan rumah kediaman dengan bantuan sebanyak RM 150.00 seorang[25].
Peneroka yang membawa  bahagian-bahagian rumah dari luar kampung dan memasangnya sendiri, tidak diberi peruntukan yang disediakan. Di peringkat awal peneroka telah diberitahu kos keseluruhan yang perlu dibayar oleh setiap peneroka secara beransur-ansur  selepas kutipan hasil kelak ialah sekitar RM9,500.00[26].

Susunan rumah tidak ditetapkan sebagaimana rumah di FELDA. Walau bagaimanapun kebanyakan rumah didirikan mengadap jalan utama. Pada tahun 1968 setiap penduduk telah diberi bantuan tandas curah tetapi bantuan ini tidak digunakan sepenuhnya oleh peneroka kerana ada segelintir yang lebih senang dengan “penggunaan melalui sungai.”

1.9         Ketibaan Isteri dan Anak Peneroka

Apabila rumah siap didirikan, tibalah giliran isteri  dan anak peneroka berpindah ke kampung. Isteri pertama yang tiba ialah isteri Imam Ahmad kemudian menyusul pula isteri Amin Hasan[27].  Ada juga peneroka yang membawa ibu, bapa, emak dan emak mertua masing-masing. Suasana kampung mula  meriah dan berseri-seri. Peneroka pula mula terasa betapa beratnya tugas dan tanggungjawab yang menanti.   Jika dahulu mereka hidup dalam suasana “bujang”,  kini kebajikan isteri  dan anak-anak perlu diberi perhatian. Dalam masa yang sama maju mundurnya tanah kampung adalah tanggungjawab setiap peneroka. Jika dahulu kebanyakan tugas harian dilakukan secara bergotong, tetapi kini mereka haruslah berusaha gigih untuk memajukan tanah kampung masing- masing. Meskipun begitu gotong-royong tetap diadakan apabila dipanggil untuk membersih kawasan umum atau membina kolam ikan.

1.10       Pembahagian Zon Kampung

Kampung ini dibahagikan kepada tiga zon utama iaitu zon hulu, tengah dan hilir.  Zon hulu bermula dari rumah Long Hulu hinggalah ke rumah Yusuf Tebing, Malik Jambang dan Nong.  Kawasan tengah pula bermula  dari rumah Arshad, Pak Teh, dan Rashid sehingga ke rumah Basir, Hasan Gurkha, Sudin dan Omar Kunun. Kawasan sebelah hilir pula tamat di rumah Lias Panjang dan Ali Biola. Terdapat juga dua pembahagian kecil iaitu “kampung tiga” dan “kampung enam”.  Kampung tiga dikenali kerana di sana terdapat tiga buah rumah yang agak terpencil iaitu rumah Nahar, Abu Zarin dan Ahmad Samah.  Kampung enam pula didiami oleh enam peneroka yang agak terpencil juga iaitu  Abu Yah,  Mohd Nor Honda,  Seman Roboh,  Wahab, Aman dan Syawal. Penduduk di kampung tiga dan kampung enam, dianggap terpencil dari kawasan kampung tetapi  berdekatan dengan jalanraya yang menghubungkan kampung  Jimah Baru ke bandar Seremban. Selepas tahun 1988, Mat Isa telah berpindah  dan mendirikan rumah baru dari hilir ke tanah ladangnya yang terletak kampung enam. Musa Abu Yah juga turut mengambil langkah yang serupa mendirikan rumah di tanah ladangnya  bersempadan dengan Felda Sendayan   di persimpangan masuk ke Jimah Lama.

Pusat kampung terletak di zon tengah. Di sinilah disediakan tapak untuk sekolah rendah, balai raya,  dewan orang ramai, taman permainan kanak-kanak, kilang/stor  getah, kedai koperasi, rumah kedai setingkat, rumah penyelia, rumah guru dan pondok polis. Tapak masjid pula terletak di sempadan zon tengah dan hilir. Tapak masjid asalnya di kaki bukit telah dipindahkan  di bahagian atas  bukit  yang sama berhampiran dengan tanah yang dikhaskan untuk tanah perkuburan.

1.11       Makanan Peneroka

Selepas berpindah dari bangsal ke rumah masing-masing, peneroka mula menghadapi kesukaran hidup.  Mereka tidak sahaja memikirkan keperluan asas diri sendiri tetapi juga berikhtiar memenuhi keperluan asas isteri dan anak. Mereka haruslah rajin berusaha dan kreatif dalam mengharungi hidup. Bantuan kewangan yang diberikan hanya  mencukupi untuk membeli keperluan asas seperti beras, garam, ikan kering dan minyak tanah. Sementara menunggu hasil kebun atau sawah, peneroka terpaksa keluar masuk hutan berdekatan  dan rajin ke sungai untuk mencari rezeki meneruskan kehidupan seharian.

Ubi kayu masih lagi menjadi makanan utama selain beras. Ubi kayu senang ditanam dan senang pula tumbuh. Selain ubinya boleh direbus, digoreng dan diadun untuk menjadi bingka, pengat, lepat  dan sebagainya, pucuknya juga boleh dijadikan sayuran. Tidak dinafikan   tanaman lain yang cepat mendatangkan hasil juga ditanam untuk dijadikan makanan/sumber makanan. Antaranya keledek, keladi, pisang, betik, nangka, cempedak dan lain-lain. Sumber makanan dari binatang ternak juga diperolehi. Antara yang lumrah ialah daging dan telur ayam dan itik.

Sebenarnya di kampung dan di pinggir hutan banyak terdapat   sumber makanan. Contohnya, kalau rajin merayau dalam kebun getah kita akan terjumpa cendawan pelbagai jenis yang boleh dimakan.  Sayur kangkung, pucuk pegaga dan keladi banyak ditemui di kawasan berpaya. Begitu juga pucuk ubi, jantung pisang, rebung, pucuk memperai dan pelbagai jenis ulam boleh didapati dengan mudah. Kalau sanggup  boleh makan belalang kunyit dan tupai memang banyak berkeliaran. Di sungai atau anak sungai banyak ikan air tawar seperti keli, haruan dan lampan. Jika mahu rasa daging, ayam hutan, pelanduk/napuh, burung wak wak, burung tekukur pun boleh disembelih. Kalau malas bertani sekali pun, campak sahaja batang ubi kayu, serai, anak pisang, biji nangka, biji betik insyaALlah akan tumbuh dengan sendiri asalkan tidak diragut lembu atau kambing.

1.12     Aktiviti di Tanah Kampung

Para isteri juga tidak ketinggalan membantu tugas-tugas suami di kebun. Selepas menyelesaikan tugas di rumah, mereka juga turut bersama suami dan anak-anak turun ke tanah.   Tanah yang telah ditutupi belukar perlu ditebas dan dibakar.  Paya perlu dikeringkan kecuali mereka mempunyai rancangan untuk  menanam padi atau membuka kolam ikan. Di sini peneroka akan mula bertanam sayur-sayuran dan menanam pokok buah-buahan bersesuaian dengan keadaan tanah. Peneroka dan isteri kadang-kadang dibantu oleh ibu bapa mereka. Pengalaman ibu bapa mereka terutama yang biasa bertani dan bersawah sangat penting. Kejayaan pembangunan tanah kampung untuk pertanian dan dusun sampai kemuncaknya pada tahun 1968 apabila kampung Jimah Baru disebut sebagai kampung yang terkemuka dalam pertanian kerana tanaman dusun rambutan di setiap tanah kampung.

Penduduk kampung juga sering diganggu oleh binatang yang merosakkan tanaman dan menangkap ternakan mereka.   Tanaman ini termasuklah pokok buah-buahan dan kebun sayur. Ternakan yang diganggu pula ialah seperti ayam, itik dan telurnya. Tetamu yang tidak diundang ini sering keluar masuk kampung dari hutan dan belukar berdekatan. Antaranya ialah babi hutan, pelbagai jenis ular, biawak,  tupai, keluang, musang,  kelawar, tikus dan juga helang. Di musim bersawah mereka diserang tikus dan burung pipit.     Binatang-binatang ini akan dijerat, diperhambat dan jika dapat akan dibunuh.

1.13       Bantuan Awal Oleh Kerajaan Negeri

Kerajaan negeri telah pun memberi bantuan untuk kerja-kerja di tanah kampung. Antara bantuan yang telah diberikan ialah  berupa benih, anak pokok buah-buahan dan baja.  Turut diberikan ialah seekor lembu betina bagi setiap peneroka.  Lembu yang diberi bukan untuk disembelih tetapi untuk dibiakkan. Di samping  tahu menggunakan parang, cangkul, sabit peneroka juga haruslah mengetahui menggunakan tukul, paku dan gergaji untuk membina reban ayam, kandang lembu atau kandang kambing.  Peneroka juga mahir selok beluk hutan.

Agensi-agensi kerajaan dan pegawai-pegawai di pejabat daerah dan negeri juga kerap meninjau  untuk memberikan bantuan khususnya dalam usaha menjayakan projek pembangunan tanah yang pertama di Negeri Sembilan ini.

1.14     Pembahagian Tanah ladang

Tanah ladang telah dibahagikan mengikut hak setiap peneroka.   Kawasan tanah ladang  setiap unit ini dikenali sebagai Lot.  Nombor baru telah dikeluarkan bagi lot-lot ini. Undi telah dibuat bagi menentukan lot sesuatu ladang.  Ini bererti jiran peneroka di tanah ladang tidak semestinya sama dengan jiran peneroka di tanah kampung.  Sebagai contoh jiran penulis di tanah kampung ialah Ahmad Samah (Nombor 63)  dan  Nahar (Nombor 61). Tetapi jiran penulis di tanah ladang ialah Seman Roboh (Lot 77)  dan Mokhtar (Lot 76).  Tidak ada peneroka yang  mempunyai tanah ladang  bersempadan dengan tanah kampung.  Walau bagaimana pun mereka yang mendapat tanah ladang berhampiran dengan pusat kampung lebih beruntung. Mereka tidak perlu bersusah payah untuk mengangkut barang berat seperti baja dan menghantar  hasil getah ke pusat pengumpulan yang dipanggil “kilang getah,” (juga dipanggil oleh sebahagian peneroka sebagai “stor getah”) yang jauh selepas getah mengeluarkan hasil. Seramai dua orang tidak mendapat tanah ladang kerana kesilapan dalam pengukuran. Mereka ialah Dolah Sembelit dan Lajis. Kedua-dua mereka bagaimana pun telah mendapat tanah ladang di Felda Gadong Jaya[28] yang terletak kira-kira tiga batu dari kampung Jimah Baru.

Di peringkat awal, setiap peneroka juga perlu berkumpul  setiap pagi untuk mendengar taklimat dari penyelia. Kemudian mereka akan dilepaskan ke ladang getah masing-masing untuk menjaga kebersihan ladang. Selepas enam bulan, dan  hanya selepas penyelia berpuas hati dengan kebersihan ladang barulah peneroka dikecualikan dari berkumpul setiap pagi. Bagi peneroka yang tidak menunjukkan prestasi yang baik mereka masih perlu berkumpul dan mendengar taklimat sebelum dilepaskan ke ladang masing-masing[29].

1.15       Aktiviti di Tanah Ladang Sebelum Torehan

Pihak kontraktor telah membersihkan kawasan dan mengukur mengikut keperluan tanaman getah. Pihak kontraktor juga bertanggungjawab membina jalan ladang dan jalan pertanian, menyediakan baris kontour, melubang dan menanam. Peneroka pula dibimbing untuk membaja mengikut jenis baja yang ditentukan, teknik membaja dan kekerapan membaja.   Selain itu peneroka juga dibimbing untuk menyulam iaitu satu proses menggantikan anak pokok yang mati atau terbantut pada musim yang sesuai[30]. Peneroka juga bertanggungjawab merumpai iaitu membuang tumbuhan yang tidak diperlukan dan mengancam tanaman. Proses ini dilakukan dengan cara  mencabut, menebas atau meracun. Anak-anak kayu seperti senduduk akan dicabut. Lalang akan diracun manakala rumput akan ditebas.

Peneroka juga dilatih untuk mengawal dari serangan serangga perosak yang mungkin menyerang daun, pucuk, batang, akar dan bahagian pokok lain yang dianggap produktif.   Antara serangga perosak yang mengancam daun dan pucuk ialah belalang kunyit. Terdapat juga peneroka yang menangkap belalang ini untuk dijadikan lauk yang enak. Ancaman dari siput babi, siput bulan dan  monyet  juga haruslah diatasi.  Monyet akan merosakkan anak-anak pokok tambahan pula apabila habitat asalnya  telah dicemar dan diceroboh.

Peneroka juga dibimbing mengawal penyakit pada akar, daun, batang dan tempat torehan dengan cara melihat tanda-tanda dan melakukan tindakan pencegahan. Aktiviti yang kerap dilakukan oleh peneroka ialah membaja pokok sama ada pokok yang masih  muda atau pun pokok yang sudah matang.

Sesekali peneroka haruslah menjalankan tugas mencantas dan menggalakkan pertumbuhan dahan. Tujuan mencantas ialah  membentuk dan mengimbangkan silara pokok dengan cara memotong beberapa bahagian dahan tertentu untuk menambah kestabilan pokok dan kawasan kulit torehan. Galakan dahan pula  bertujuan pertambahan lilitan pokok dengan cepat dan kanopi yang seimbang. Peneroka juga harus mengawal rumpai dengan cara  memeriksa jika ada tumbuhan yang hidup di tempat yang ia tidak kehendaki dan menjadi ancaman. Aktiviti ini semuanya akan dilakukan mengikut tempoh tertentu dan secara berterusan.

1.16       Bantuan   Kerajaan Negeri

Kerajaan, melalui agensi-agensi di bawahnya  dari masa ke masa terus memberi bantuan kepada penduduk kampung. Antara bantuan yang diberikan ialah racun serangga, racun rumpai dan baja kimia. Di peringkat awal, baja-baja ini dihantar sehingga ke setiap ladang. Kerajaan juga menyediakan peralatan seperti pam racun bagi membolehkan peneroka bekerja sendiri.  Bantuan juga diberikan oleh kerajaan dari segi khidmat kepakaran ladang. Seorang pegawai yang dikenali sebagai penyelia telah dilantik. Tugas penyelia ini ialah menasihati dan memantau  berbagai-bagai perkara mengenai urusan ladang. Penyelia juga berhak menegur dan mencadangkan supaya peneroka yang tidak mematuhi peraturan disingkirkan dari menjadi peneroka. Terdapat kes-kes yang mana peneroka disingkirkan kerana gagal mematuhi  piawaian dan peraturan yang ditetapkan.

1.17       Komitmen Kebersihan

Satu perkara yang menarik bagi kampung Jimah Baru ialah komitmen setiap peneroka terhadap kebersihan kawasan persekitaran. Perkara ini sangat dititik beratkan kerana kawasan kampung sangat berdekatan dengan kawasan ladang dan hutan. Jika kebersihan tidak diambil hirau kampung akan mudah mendapat penyakit melalui nyamuk, lalat,  agas dan tikus. Penyakit ini boleh menyerang penduduk, tanam-tanaman di kebun dan  ternakan mereka. Di samping itu kampung yang semak dan kotor akan mengundang kedatangan binatang liar  dari hutan  dan belukar seperti   babi, kelawar,  pelbagai jenis ular sawa   dan lain-lain.

1.18       Pembukaan Kolam Ikan

Di samping mengusahakan  pertanian kecil-kecilan di tanah kampung dan  menyelenggara tanah ladang, peneroka   juga cuba untuk  menceburi bidang lain.  Langkah ini wajar sementara menunggu getah mula ditoreh. Antara bidang tersebut ialah pembukaan kolam-kolam ikan, sawah padi dan ternakan ayam daging.  Kolam-kolam ikan  umpamanya telah dibuka dan dibina berhampiran dengan  sungai dan kawasan berpaya. Pembinaannya di peringkat awal adalah secara bergotong royong dengan bantuan peralatan kerja yang asas seperti cangkul, cangkul bermata tiga  dan penyodok. Bantuan dari kerajaan berupa anak-anak ikan juga telah diperolehi. Antara ikan-ikan yang dipelihara ialah lampam dan siakap. Pengurusan kolam-kolam ikan ini pada satu ketika sangat berjaya. Pada tahun 1968 sebanyak empat kolam ikan yang meliputi kawasan seluas dua ekar telah di bina di tepi sungai berdekatan dengan balai raya.

Pada akhir tahun 1960-an   Timbalan Perdana Menteri ketika itu YAB Tun Razak telah mengadakan lawatan ke kampung Jimah Baru  untuk meninjau kejayaan pengurusan kolam ikan.

1.19       Tanaman Padi

Terdapat juga tanah dan  bekalan air yang sesuai untuk tanaman padi.  Di peringkat awal tanaman ini ditanam hanya sekadar untuk  keperluan sendiri sahaja. Peneroka yang mempunyai pengalaman bersawah telah mengambil kesempatan ini untuk menanam padi. Bagaimana pun usaha ini tidak lama kerana tenaga peneroka lebih diperlukan di ladang. Penanaman padi juga berhadapan dengan masalah burung dan tikus dari hutan dan semak belukar. Tambahan pula untuk jangka panjang tanaman ini tidak praktikal kerana masalah bekalan air dari sungai yang tercemar. Di antara peneroka yang pernah membuka tanah sawah ialah  Yusuf Awang, Ahmad Samah, Mansor, Musa Abu Yah, Omar O,  Pengat, Lajis, Jantan, Ali Midi,  Arshad, Daie, Said, Sidik Keding, Amin Hasan, Abu Zarin dan Imam Ahmad. Projek ini bagaimana pun hanya dapat bertahan untuk dua atau tiga tuaian sahaja[31].

1.20       Ternakan Ayam Daging

Selain dari ternakan kecil-kecilan seperti ternakan ayam dan itik, peneroka juga cuba memelihara ayam daging secara komersial. Bantuan berupa anak-anak ayam, petarang ayam (tempat ayam yang baru sahaja beberapa hari menetas dari telur), lampu, tempat makanan anak-anak ayam, pembinaan reban ayam yang lebih besar untuk ayam-ayam dewasa juga diberikan oleh kerajaan.  Peneroka yang berminat untuk menternak ini juga telah dihantar mengikuti kursus-kursus berkaitan. Ternakan komersial ini juga tidak dapat bertahan lama. Alasan yang sama juga berulang. Peneroka tidak mempunyai masa yang cukup menguruskan ternakan ini.  Tambahan pula anak-anak masih kecil. Anak-anak ini tidak mampu membantu menjalankan tugas-tugas ini malahan anak-anak  ini pula sebaliknya perlu diperuntukan masa untuk menjaga dan mendidik mereka. Antara peneroka yang pernah mengusahakan ternakan ayam daging ini ialah Malik Jambang dan  Abu Zarin.

1.21       Hutan Sebagai Sumber Rezeki

Sehingga tahun 1960-an kampung  Jimah Baru masih di kelilingi hutan. Sebaik masuk ke persimpangan jalan ke kampung Jimah Baru sama ada dari Port Dickson atau dari Seremban pelawat boleh melihat hutan di kiri kanan jalan. Di simpang tersebut terdapat sebuah kedai makan yang dikendalikan oleh  Alang iaitu  bapa Nordin. Selepas Alang meninggal pada awal tahun 1970-an isterinya Saodah menguruskan kedai makan tersebut bersama anak-anak yang masih kecil. Pernah satu ketika Azmi anak Ali Kole (kini sudah meninggal) tinggal di salah sebuah bilik di kedai tersebut. Sekurang-kurangnya kehadiran Azmi boleh juga menemani Saodah yang tinggal terpencil bersama anak-anak yang masih kecil. Kedai makan ini juga kerap dikunjungi oleh pelajar-pelajar dari sekolah budak-budak cacat (Sekolah Seri Sembilan) yang terletak lebih kurang 200 meter dari kedai tersebut.

Jarak dari simpang ke Jimah Baru  hanya sejauh lebih kurang 3 batu sahaja. Kawasan hutan di kiri kanan tersebut menganjur sehingga ke kampung Jimah Baru. (Sebahagian dari hutan di kiri kanan jalan ini kemudiannya telah ditebang untuk dijadikan ladang getah penduduk Felda Sendayan peringkat tiga. Kawasan ini bermula sebaik mendaki bukit kedua dari persimpangan jalan Seremban-Port Dickson- Jimah Baru.) Apabila memasuki kawasan kampung Jimah Baru  barulah ditemui kawasan ladang getah peneroka kampung Jimah Baru di kiri kanan jalan.  Pada sebelah kanan jalan ini, kawasan ladang getah penduduk kampung Jimah Baru bersempadan pula dengan kawasan hutan dara. Ladang getah ini juga menganjur sehingga ke persimpangan jalan ke Jimah Lama. Kawasan tepi jalan yang tidak ditanam getah hanyalah di tepi jalan berdekatan rumah Mat Rashid dan kampung enam sahaja. Pada masa itu Mat Isa dan Musa Abu Yah belum lagi mendirikan rumah berdekatan kampung enam. Dari simpang jalan ke kampung Jimah Lama iaitu pada sebelah kanan jalan, juga terdapat hutan yang menganjur sehingga ke sempadan kampung Jimah Lama.

Antara tanah ladang getah yang bersempadan dengan hutan ialah ladang getah Ahmad Samah,   Nahar, Yusuf  Tebing, Sarmidi, Omar Kunun, Jantan Kadir, Amin, Sujak, Nong, Achid, Mat Nor, Long Hulu dan Said.   Kini semua hutan yang bersempadan dengan ladang getah ini   telah diteroka  untuk ditanam pokok-pokok kelapa sawit yang diperuntukkan kepada penduduk Felda Sendayan. Sebelum hutan diteroka, di kawasan hutan tersebut terutamanya yang berhampiran dengan paya banyak terdapat pokok rumbia, pokok mengkuang, kerdas, berangan, umbut dayas  dan pokok asam kelubi.  Pernah satu ketika keluarga penulis mengambil daun mengkuang tersebut untuk dibuat tikar. Kebanyakan pokok rumbia di situ  agak besar. Batangnya ada yang lebih besar dari   pemeluk. Batang pokok rumbia boleh dipotong   untuk diambil sagunya. Sagu itu boleh dijadikan makanan keluarga dan makanan ayam.      Pada hujung tahun 1960-an, penulis, Usop Mat Cemek (anak Ahmad Samah), Pudin anak Saat dan beberapa teman lain selalu  juga masuk ke hutan tersebut untuk bermain-main.

Kegemaran kami waktu kecil ialah melastik burung. Tidak kira apa burung sekalipun. Jika melintas akan kami lastik.  Antara burung yang sering menjadi mangsa ialah burung burung murai, serindit, tiong,  tempua, layang-layang, merbuk,  tekukur,  belatuk, raja udang, bot-bot, punai, pipit dan wak-wak. Kami juga sering menemui burung bot-bot. Biasanya jarang sangat tembakan kami mengena. Burung-burung ini banyak didapati dipinggir hutan di di pinggir belukar berpaya. Seingat penulis hanya seekor burung serindit sahaja yang berjaya dilastik sepanjang “kerjaya” sebagai pelastik burung.

Penulis dan teman-teman sekampung  tidak berani bermain di anak sungai dalam hutan tersebut kerana banyak lintah dan pacat.  Tambahan pula di kawasan tersebut banyak babi-babi hutan yang berkeliaran.  Selalu juga kami masuk ke hutan untuk bermain-main “tarzan”  berayun dari rotan  ke rotan biasanya  di sebelah kawasan berbukit. Di situ banyak terdapat pokok rotan, rimbunan pokok buluh beting dan pokok bertam.  Bila dahaga  rotan  dan akar yang terjuntai itu dipotong. Kami minum airnya dengan lahap. Kadang-kadang kami main tembak-tembak. Pistol dan senapangnya dibuat dari  papan dan kayu. Pelurunya kami ambil dari terung belimbang/belanda yang biasanya dikutip untuk dibuat ulam atau pengganti utama timun dalam ramuan nasi lemak. Terung itu banyak tumbuh liar di pinggir hutan. Sesekali kami sempat juga melihat Ahmad Samah, Omar Kunun, Rais anak Mokhtar dan menantu Lajis menggergaji kayu untuk dibuat pagar.   Penulis masih ingat di situlah bapa penulis selalu menebang buluh beting untuk dibuat lemang dan diambil rebung.

Salah satu keperluan utama apabila masuk hutan ialah membawa parang.  Parang berguna tidak sekadar untuk menebang buluh tetapi untuk membunuh ular. Ular yang menyerang perlu dibunuh hingga mati. Ular yang cedera sangat merbahaya. Di dalam hutan memang banyak terdapat ular berbagai spesis. Kebanyakan ular tidak menyerang jika tidak diganggu atau terpijak. Antara ular-ular yang kerap dijumpa sama ada di dalam hutan berdekatan atau di tanah kampung ialah seperti ular sawa, kapak, lidi, katam batu, daun dan  ular tedung. Ular tedung pula ada berbagai jenis seperti tedung selar, tedung senduk, tedung abu dan tedung tikus. Ular yang biasa ditemui di tanah ladang ialah ular katam batu. Pernah juga dijumpa ular sawa kekenyangan di dalam reban ayam.

Selain dari hutan berdekatan dengan ladang getah Ahmad Samah, penulis juga kerap mengikut bapa penulis mencari buluh beting di hutan di tepi jalan sebelah kanan menghala ke  kampung Jimah Lama. Di situ pun banyak terdapat buluh untuk dibuat lemang. Kami juga sering masuk ke hutan bersebelahan kebun getah di Felda Sendayan peringkat tiga. Kini semuanya hanya tinggal kenangan. Hutan telah ditebang untuk ditanam pokok getah dan kelapa sawit.

 

Sebaik senja mula melabuhkan tirai,  penduduk kampung Jimah Baru terutamanya yang tinggal berhampiran dengan hutan boleh mendengar berbagai suara unggas dan mergastua dari hutan berdekatan.  Sebagai contoh penduduk yang tinggal di kampung tiga boleh mendengar keriuhan ini dengan jelas. Tambahan pula kawasan berpaya yang kini menjadi tapak  rumah Nordin menantu Nahar membawa ke jalan  raya utama masih lagi belum diterokai. Di dalam belukar berpaya itu juga tidak kurang banyaknya spesis hidupan. Kini kawasan berpaya tersebut telah diterangi dan dikeringkan oleh Abu Zarin dan Naja.  Mereka telah menanam  berbagai jenis pisang, jagung dan pokok-pokok buah-buahan.  Sehingga hari ini mereka masih lagi gagal mendapatkan hak milik tanah tersebut.

Sehingga penghujung tahun 1960 atau awal tahun 1970-an,  jalanraya yang menghubungi simpang Seremban-Port Dickson-Jimah Baru dan jalan yang menghubungkan Jimah Baru-Jimah Lama sering dilalui oleh truk-truk askar dan kereta perisai. Pihak  Angkatan Tentera Malaysia yang berpangkalan di Port Dickson sering mengadakan latihan di hutan di kiri kanan jalan tersebut.  Sesekali  penulis melihat sendiri pemandu-pemandu truk tersebut berhenti di pinggir hutan. Mereka menyedut sedikit dari tangki minyak dan menjualnya kepada penduduk-penduduk kampung berdekatan dalam jumlah yang kecil iaiat kira-kira sebotol cili sos.

Catatan :

  • (Petikan dari buku Keringat Di Ladang)
  • Bab 1   Penerokaan Awal

[1] Wawancara dengan  Osman  bin Abu Bakar pada 19 Disember 2009, di rumahnya di Kg. Jimah Baru.

[2] Beliau ialah calon UMNO bertanding atas tikit Perikatan

[3] Osman Abu Bakar, op cit.

[4] Wawancara dengan Ahmad bin Hasan pada 24 Oktober 2009, di rumahnya di Kg. Jimah Baru.

[5] Wawancara dengan Kamariah anak Idris pada 13 Februari 2010, di Kg Jimah Baru.

[6] Contohnya Ibrahim Mualaf  berasal dari Kuala Lumpur dan Nahar berasal dari Pulau Pinang.

[7] Naja dan Nordin Supi  masih bujang dan telah diberi pengecualian sewaktu memohon. Naja misalnya semasa melapor diri baru dua bulan berumah tangga. Wawancara dengan Maimun isteri Malik Jambang pada 13 Februari 2010 di Kg Jimah Baru

[8] Contohnya Ismail dan Ali Kole  bukan berasal dari Negeri Sembilan tetapi bekerja di Port Dickson.

[9] Terdapat juga kes mereka tidak ditemuduga malahan tidak tahu apa-apa.  Mereka telah dikunjungi ke rumah masing-masing hanya untuk dibanci. Tidak lama kemudian mereka mendapat surat tawaran.   Osman  bin Abu Bakar , op cit

[10] Wawancara dengan Omar bin Kunun pada 17 Oktober 2009, di rumahnya di Kg.  Jimah Baru.

[11] Ada yang lapor diri lambat seperti Md Lajis dan Mokhtar. Wawancara dengan Md Lajis  Md Noh  pada 19 Disember 2009, di rumahnya di Kg Jimah Baru.

[12] Omar bin Kunun, op cit.  Bapa penulis pernah menyebut terdapat dua buah bas (mungkin trak askar-penulis)  diletakkan berdekatan menunggu penumpang di Port Dickson. Bas pertama disediakan untuk membawa peneroka ke Kg Jimah Baru manakala bas  kedua membawa tentera yang akan berkhidmat ke Conggo.

[13] Osman  bin Abu Bakar, op cit

[14] Rumah Basir tiada lagi selepas kematiannya dan isteri.  Mungkin telah roboh atau dirobohkan. Anak-anaknya pun tiada yang tinggal  menetap di Jimah Baru. Khabarnya salah seorang anaknya Asiah (Yut) membuka kedai runcit di Sendayan Indah.

[15] Wawancara dengan   Ramlah isteri Ahmad Samah pada 10 Oktober 2009, di rumahnya di Kg. Jimah Baru.

[16] Ahmad bin Hasan op cit.   Md Lajis Md Noh  op cit.

[17] Maimun isteri Malik Jambang, op cit

[18] Wawancara dengan Amin bin Hasan  pada 10 Oktober 2009, di rumahnya di Kg. Jimah Baru

[19] Omar  bin Kunun, op cit

[20] Ahmad bin Hasan, op cit

[21] Ahmad bin Hasan, ibid

[22] Hj Osman ialah teman baik mufti  Negeri Sembilan pertama iaitu Haji Ahmad sejak  mereka belajar  bersama di Mekah.

[23] Amin bin Hasan, op cit.   Ahmad bin Hasan,  op cit,    Maimun isteri Malik Jambang, op cit.  Menurut Maimun, nombor telah dimasukkan ke dalam bekas  dan peneroka mengambil sendiri nombor-nombor tersebut. Cara yang sama juga dibuat untuk menentukan lot getah.

[24] Menurut  Osman bin Abu Bakar  beliau hanya diberitahu kedudukan tanah kampung dan ladang serentak. Dia tidak pasti sama ada pengundian dilakukan.  Osman bin  Abu Bakar, op cit.  

[25] Ahmad bin Hasan, op cit

[26] Menurut Osman Abu Bakar beliau tidak berpuas hati kerana jumlah ini telah dinaikkan sekitar RM12,000.00 beberapa lama kemudian  atas alasan terlebih belanja. Keputusan baru ini dibuat oleh pengurusan baru.  Osman bin Abu Bakar, op cit.

[27] Wawancara dengan Salamah, isteri Ahmad bin Hasan, pada  24 Oktober 2009, di rumahnya di Kg. Jimah Baru

[28] Ahmad bin Hasan, op cit

[29] Ahmad bin Hasan, ibid

[30] Setiap  lubang telah ditanam dengan tiga anak pokok. Hanya anak pokok yang lebih segar/baik akan dikekalkan. Dua lagi akan dicantas.

[31] Ahmad bin Hasan, op cit

About san59

Sudah tua....
Aside | This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s