Bab 1

Bab 1 Latar Belakang Haji Ahmad

Pendahuluan Islam mula tersebar di Tanah Melayu pada abad ke 7 masihi. Sejak itu ulama telah memainkan peranan yang berkesan dalam proses pengislaman dan pendidikan agama kepada masyarakat Melayu. Pada peringkat awal ulama ini merupakan pendakwah yang datang dari negara-negara Arab dan India. Lama-kelamaan lahirlah ulama tempatan yang mendapat pendidikan agama dari Mekah, Mesir, India dan sekolah-sekolah pondok yang banyak terdapat di utara tanah air termasuklah di selatan Thailand. Sumbangan ulama Melayu silam ini adalah saling lengkap melengkapi bagi mengukuhkan akidah seterusnya mengamalkan agama Islam yang betul, bersih dari unsur-unsur syirik dan khurafat. Sumbangan golongan ulama sangat dihargai. Mereka dihormati, dimuliakan dan mendapat tempat istimewa dalam budaya Melayu. Panggilan hormat seperti Tuan Guru, Tuan Sheikh, Ustaz, Tuan Haji, Lebai, Tuan Iman dan Tuan Kadi merupakan panggilan yang diberikan kepada golongan ini. Pada satu ketika penghormatan telah diberikan kepada sesiapa sahaja yang diketahui berketurunan Arab. Orang Melayu menganggap orang Arab ialah orang Islam dan orang Islam ialah orang Arab. Panggilan-panggilan seperti “Tuan Syed”, “Syarifah” merupakan panggilan hormat yang diberikan kepada orang Arab atau orang yang berketurunan Arab. Pada abad ke17 dan 18 terdapat ramai ulama-ulama di semenanjung Tanah Melayu khususnya di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Kemunculan ulama-ulama ini selaras dengan pertumbuhan sekolah-sekolah pondok. Pelajar-pelajar sekolah pondok ini datangnya dari setiap pelosok negeri. Sebaik menamatkan pelajaran, mereka akan kembali ke negeri masing-masing untuk memberi sumbangan pendidikan agama kepada masyarakat setempat. Ulama Negeri Sembilan Sehingga akhir abad ke-19, bilangan ulama atau guru agama di Negeri Sembilan tidak seramai jika dibandingkan dengan guru agama di negeri-negeri di utara Tanah Melayu. Hal ini tidaklah menghairankan kerana tidak banyak terdapat sekolah-sekolah pondok di Negeri Sembilan. Masyarakat Negeri Sembilan yang dahagakan pengetahuan agama telah menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah pondok yang terdapat di utara tanah air seperti di Kedah, Perak dan Kelantan. Setelah tamat belajar mereka inilah yang diharapkan memikul tugas menjadi guru agama di kampung masing-masing. Terdapat juga segelintir anak-anak Negeri Sembilan ini berpeluang mendapat pendidikan agama di luar Tanah Melayu seperti di Tanah Arab, Indonesia dan selatan Thailand. Antara yang bernasib baik ialah Haji Ahmad yang telah berpeluang belajar di masjidil haram, Mekah. Antara individu yang boleh dianggap ulama Negeri Sembilan ialah Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris ( 1814– 1887 ), Haji Darun Haji Ibrahim ( 1840 – 1949), Haji Dahat Haji Muhamad Nor ( 1844 – 1937 ), Haji Abdul Majid Haji Ibrahim ( 1850 – 1909), Haji Idris Bin Dato’ Udin ( 1860 – 1935), Lebai Abbas Zakaria (1862 – 1926 ), Haji Ahmad Zain Dagang ( 1866 – 1959), Haji Mustafa Haji Ahmad (1866 – 1927 ), Sheikh Haji Muhamad Said Jamaluddin (1875 – 1926 ), Haji Luna Bin Haji Sidek ( 1880 – 1953) dan Haji Muhamad Haji Itam ( 1886 – 1969). Dari kalangan mereka yang disebutkan di atas, anak cucu Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris adalah antara keluarga ulama yang dikenali khususnya bagi daerah Seremban, Rembau dan Port Dickson. Cucunya, Haji Ahmad bin Haji Mohd Said bin Haji Jamaludin adalah tokoh yang diketengahkan dalam buku ini. Malahan antara faktor yang mengukuhkan ketokohan Haji Ahmad ialah pengaruh kerabat ibu bapanya yang telah dikenali sebagai keturunan alim ulama. Haji Ahmad bin Haji Mohd Said (1910 – 1964) Haji Ahmad dilahirkan pada hari Rabu, jam 11.00 malam, 25 Rabiulawwal, 1828H bersamaan dengan 1910. Ada yang berpendapat tahun 1912. Perbezaan dua atau tiga tahun ini merupakan perkara biasa berlaku dalam proses pendaftaran kelahiran di bawah pentadbiran penjajah British. Haji Ahmad dilahirkan di rumah bapanya Haji Mohd Said di Kampung Ampangan yang terletak beberapa kilometer sahaja dari bandar Seremban. Pada ketika itu Haji Mohd Said baru lapan tahun menginap di kampung Ampangan. Sebelumnya dia berada di luar Tanah Melayu. Haji Ahmad berkulit cerah dan tidaklah begitu tinggi. Beliau dikatakan “agak berisi.” Anak keempat dari 32 orang adik-beradik dan anak kedua dari adik-beradik seibu sebapa. Bapanya Haji Mohd Said bin Jamaludin merupakan salah seorang ulama Melayu yang terkenal di alam Melayu. Ibunya ialah Hajah Siti Zubaidah yang juga dikatakan berdarah ulama. Datuk kepada Haji Ahmad ialah Syeikh Jamaluddin Linggi juga adalah seorang ulama Melayu yang pernah mengajar di masjidil Haram, Makkah. Neneknya pula Hajah Safiyah berasal dari keturunan ulama Patani. Neneknya merupakan seorang yang ahli qiraat (bacaan Quran). Datuknya juga mempunyai kaitan keluarga dengan Sheikh Ismail bin Abdullah Minangkabau iaitu seorang ulama besar murid Syeikh Daud bin Abdullah al Fatani. Semasa kecil Haji Ahmad sangat sayang dan patuh kepada ibu dan bapanya. Di antara tugas hariannya ialah membeli susu lembu untuk bapanya dan mengangkat air untuk rumah ibunya. Beliau tidak pernah dimarahi atau pun di rotan oleh ibu dan bapanya. Beliau sangat menjaga hati ibunya. Walau pun beliau seorang yang pembersih pernah disebutkan beliau sehingga tidak tergamak menghalau ayam peliharaan ibunya yang membuat kotor di rumahnya semata-mata untuk menjaga hati ibunya. Ibunya meninggal pada tahun 1954 semasa di bawah jagaannya. Haji Ahmad sangat beruntung. Dia mempunyai sanak saudara yang ramai dan hubungan kekeluargaan sangat rapat. Bapanya Haji Mohd Said pernah berkahwin sebanyak 9 kali. Adik beradiknya ramai. Bapanya juga mempunyai ribuan murid-murid di alam Melayu termasuk Saigon, Thailand, Burma dan kepulauan Riau. Bilangan sanak saudara, sahabat handai dan murid-murid yang ramai ini sangat membantu dalam menyumbang ketokohan Haji Ahmad. Haji Ahmad dibesarkan dalam lingkungan pendidikan dan penghayatan agama. Keluarganya menjadi tumpuan masyarakat Melayu umumnya yang datang dari berbagai-bagai peringkat. Di masa Haji Ahmad bersekolah, rata-rata anak-anak Melayu lain sedang membantu bapa dan ibu mereka di sawah, di laut, di ladang dan di hutan. Bagi kebanyakan keluarga miskin ini mencari rezeki lebih diutamakan berbanding mendapatkan pelajaran. Hanya ibu bapa yang benar-benar mementingkan pelajaran sahaja yang tidak akan membenarkan anak-anak mereka turun bekerja sebaliknya menumpukan perhatian terhadap pelajaran agama.

(Sampai sini shj dulu…)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s