Abu Zarin bin Sudin

Ada dua keping gambar hitam putih yang paling abang sayang. Satu gambar ialah sewaktu abah masih belum pandai berdiri. Abah dipangku oleh nenek Satinah dan nenek pula duduk di atas bangku (tanpa penyandar). Di sebelah nenek berdiri Datuk Abu Zarin. Gambar hitam putih itu diambil dalam studio. Pada waktu gambar itu diambil, umur abah mungkin dua tahun lebih sedikit. Umur nenek pula dalam lingkungan 27 tahun dan umur datuk pula dalam lingkungan 37 tahun. Nenek berbaju kebaya dan tidak bertudung. Datuk pula berpakaian baju lengan panjang dan dimasukkan ke dalam seluar. Baju dan seluarnya berwarna cerah tetapi abah boleh teka Atuk Dalam Tahun 1980-anberwarna putih.


Gambar kedua pula ialah gambar  abah  bersama datuk Abu Zarin di halaman rumah yang mula-mula dibina di kampung Jimah Baru. Rumah yang abah maksudkan ialah rumah beratap nipah.  Abah tidak fikir rumah pertama itu  pernah dilihat oleh adik beradik abah yang lain. Abah berkaki ayam lengkap berbaju dan berseluar pendek manakala datuk Abu Zarin berpakaian kasar pakaian yang biasa dipakai orang untuk bekerja di ladang. Di kiri kanan dan hadapan kami masih lagi ada anak-anak getah yang telah ditanam. Anak-anak getah ini akhirnya dicabut kerana kawasan yang ditanam itu adalah kawasan untuk rumah.
Abah sudah beritahu nenek supaya menyimpan dua keping gambar itu baik-baik. Nenek juga bersetuju kerana kata nenek, dia tidak ada lagi gambar-gambar lama. Beberapa tahun sebelum nenek meninggal dunia abah minta kembali gambar itu tetapi nenek beritahu abah,  dia sudah lupa di mana disimpannya gambar itu. Selain dari dua keping gambar itu, terdapat sekeping lagi gambar yang masih disimpan iaitu gambar sewaktu abah berada di darjah enam. Gambar itu diambil semasa abah  membuat kad pengenalan kali pertama dan turut serta dalam gambar itu ialah anak-anak jiran. Hanya itu sahaja gambar yang ada atau pernah ada sewaktu abah kecil.

Datuk Abu Zarin seperti emaknya berkulit putih. Sewaktu abah seusia dengannya dia agak rendah sedikit dari abah mungkin kurang dua atau tiga inci. Abah tidak pernah nampak dia berambut hitam. Sedar-sedar abah dapati rambutnya sudah berwarna putih. Pernah  juga dia cuba mewarnakan rambutnya kepada warna hitam tetapi tidak menjadi.  Sewaktu berambut putih, orang kampung memanggilnya  “uban.”   Fesyen rambutnya ialah sikat ke belakang.
Atuk Abu Zarin  mempunyai banyak kemahiran. Di antaranya ialah boleh mengajar orang dewasa membaca dan menulis, menjadi jurulatih kawad askar wataniah, bertukang, berkebun, menembak, menternak ayam daging, menjaja hasil ternakan dan pertanian, menternak kecil-kecilan seperti ayam, itik, kambing dan ikan. Datuk Abu Zarin juga boleh bermain gasing, bermarhaban dan berzanji. Dia juga boleh membawa kereta, traktor, menunggang basikal dan menunggang motorsikal. Motorsikalnya yang terawal ialah Lambretta dan kereta terawalnya ialah Morris Minor. Abah juga pernah ikut dia mengajar kelas dewasa dan ikutnya menjaja ayam dengan menggunakan basikal. Datuk juga pernah menjual jagung, buah durian dan buah rambutan.
Sebut fasal Morris Minor, kereta itulah yang pertama abah pandu. Walau pun abah tidak tahu memandu abah beranikan memandu kereta Datuk tanpa pengawasan sesiapa. Pada mulanya memanglah kawalan setering abah sangat buruk, ke tepi ke tengah. Tetapi lama kelamaan abah sudah biasa. Sewaktu belajar memandu dari syarikat berlesen di Dungun, abah sebenarnya sudah pandai memandu kereta. Kereta lain yang pernah atuk miliki ialah Toyota, Datsun 120Y dan Nissan Sentra. Selain dari Lambretta keluaran Itali dan Honda keluaran Jepun, datuk abu Zarin pernah memiliki sebuah motorsikal besar seperti Norton tetapi abah lupa namanya. Motorsikal itu juga lebih laju kerana memiliki kuasa 125CC. Abah selalu juga curi-curi tunggang motorsikal besar itu laju-laju.

Datuk Abu Zarin juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan seperti berpersatuan, berpolitik dan bergotong royong. Datuk Abu Zarin pernah dilantik menjadi setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dalam masa yang agak lama. Dia juga aktif dalam program dan aktiviti UMNO dan menjadi salah seorang ahli jawatankuasa dalam tempoh yang agak panjang juga. Datuk juga pernah menjadi jawatankuasa masjid dan jawatankuasa PIBG sekolah. Datuk Abu Zarin juga pernah jadi jurujual. Dia jual baju seperti Bush Jaket (tetapi agak lembut kainnya) kepada orang-kampung. Geli juga hati abah lihat orang-orang kampung ramai yang pakai “bush jaket”.
Pada akhir tahun 1980-an, Datuk Abu Zarin dan tiga orang kawan sekampung menubuhkan Syarikat Pembinaan Rumah “Sri Jimah”. Syarikat ini berjaya mendirikan rumah teres satu tingkat tidak jauh dari pekan Lukut. Sewaktu usia tua, dia selalu diserang gout dan kadang-kadang terpaksa masuk wad. Anihnya setiap kali dia masuk wad, nenek juga akan masuk wad malah lebih awal masuk wad. Beberapa bulan sebelum dia meninggal dunia dia telah dilanggar oleh sebuah kereta dari belakang sewaktu dia bermotorsikal. Sejak kemalangan itu Datuk sukar untuk berjalan dan lebih banyak masa berbaring. Atuk Abu Zarin meninggal pada bulan Disember 2006; tiga hari selepas nenek meninggal dunia. Malah dua hari sebelum dia meninggal dia ada beritahu abah ajalnya juga sudah terlalu hampir. Abah cuba menenangkan perasaanya dan mengarahkan adik-adik abah memapah Datuk masuk ke bilik tidurnya.
Datuk dan nenek disemadikan ditanah perkuburan Kampung Jimah Baru. Kubur mereka pun bersebelahan. Pada batu nisan mereka abah tidak tulis sebagaimana orang lain buat. Abah hanya tulis nombor “62” iaitu nombor rumah mereka sewaktu mereka hidup di dunia ini. Beza antara nesan Atuk dengan nenek ialah nisan nenek leper. Tindakan abah itu juga menjadi sebutan orang. Maklum, bila kita buat sesuatu yang lain dari biasa masyarakat akan cepat-cepat membuat tafsiran mereka sendiri.
Sewaktu hidup datuk penyokong kuat UMNO tetapi dia tidak pernah memusuhi pengikut PAS. Sewaktu dia dan nenek Satinah meninggal dunia, bekas imam kampung memberitahu abah. Bekas imam kampung ini adalah penyokong kuat PAS. Katanya “San, sebelum emak kau meninggal dia dan abah kau ada datang ke rumah Pak Cik. Dia minta jika dia berdua meninggal lebih dahulu dari Pak Cik, Pak Cik sendiri yang sembahyangkan jenazah dan baca talkin untuk mereka berdua. Pak Cik harap kau faham”. Dia bimbang kelak ada orang salah faham sebab di kampung itu sudah dilantik orang lain sebagai imam. Abah tidak hairan sebab abah tahu hubungan datuk dan nenek dan bekas imam dan isterinya sangat akrab. Sebelum datuk Abu Zarin kemalangan jalan raya, datuk dan nenek selalu mengambil imam dan isterinya dengan kereta untuk solat subuh berjemaah di masjid. Mereka akan tiba awal, lebih awal dari jemaah lain untuk beriktkab, solat dan berzikir menunggu masuk waktu subuh.
Selepas datuk dan nenek meninggal dunia, setiap kali abah bertemu dengan peneroka kampung Jimah Baru, abah akan minta maaf bagi pihak datuk dan nenek. (Termasuklah imam yang sedang dilantik). Manalah tahu sepanjang hayat datuk dan nenek bercampur gaul dengan penduduk kampung mereka pernah menyakiti hati mereka. Abah juga minta mereka memberitahu abah jika datuk dan nenek ada berhutang supaya abah membantu membayar hutang-hutang itu. Semua peneroka yang ditemui mengatakan mereka  tiada masalah dengan datuk dan nenek malah ada yang mengatakan datuk dan nenek adalah tergolong sebagai orang baik.  

Abah kagum dengan sikap atuk. Walau pun atuk  berbeza fahaman politik tetapi atuk sangat rapat dengan penyokong parti lain. Malahan dalam beberapa perkara atuk lebih mempercayai mereka. Sikap  profesional begini wajar dicontohi oleh anak-anak abah. Sekali pun  kita berbeza latar belakang  dan pendapat, janganlah perbezaan itu menghalang kita menjalani kehidupan ini dengan ceria.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s