Ahmad Razali Tumin

Adik bongsu nenek Satinah ialah Ahmad Razali. Abah panggil dia Pak Busu. Nenek Timah pernah larang anak-anak buah lain memanggil Pak Busu. Dia suruh panggil Busu sahaja. Katanya “Pak” itu macam sudah tua sangat. Pulak… abah tidak fikir begitu. Anak-anak abah pula kenalah panggil dia “Tok Busu”. Dia lebih tua dari abah tiga tahun. Sewaktu kecil dia mempunyai bapa angkat bernama Omar. Abah panggil bapa angkatya sebagai “Tok Omar”. Kata nenek, bapa dan emak nenek tidak serasi bela anak lelaki agaknya itu sebab dicarikan bapa angkat. Nenek Satinah sendiri masa beritahu kisah itu agak ragu-ragu, entah ya entah tidak.

Tok Busu di walimahtulurus Ami

Tok Busu  (berbaju cerah – berdiri – di walimahtulurus Ami. Ami  pula sedang berbual dengan Nek Mah. Sebelah kanan Tok Busu, isterinya manakala sebelah kiri Tok Busu ialah Mak Cik Enon (adik abah)

Moyang Omar tinggal di sebuah rumah di belakang rumah bapa dan emak kepada nenek Satinah. Dia tinggal bersendirian kerana isterinya sudah meninggal dunia. Di hadapan rumahnya ada pokok belimbing yang lebat buahnya. Berhampiran tempat tidurnya tersandar pedang samurai. Kata datuk Abu Zarin, itu pedang yang diambilnya tentera Jepun sewaktu Jepun menjajah Tanah Melayu. Datuk Abu Zarin rapat juga dengan Moyang Omar. Sebab itu sebelum dia meninggal Moyang Omar hadiahkan pedang samurai tu pada Datuk Abu Zarin. Selalu juga abah lihat datuk Abu Zarin limaukan pedang tu untuk elakkan karat. Datuk Abu Zarin selalu gunakan pedang tu untuk kopek buah kelapa.

Semasa cuti sekolah dalam perjalanan ke kampung baru, kadang-kadang Pak Busu menunggu abah di perhentian bas pekan Port Dickson. Sebelum naik bas seterusnya, dia sering bawa abah minum air batu campur yang terkenal di pekan Port Dickson yang terletak tidak jauh dari pasar basah. Entahlah… pada abah ABC tu biasa sahaja, tetapi ramai juga orang yang minum di gerai China tu. Gerai itu berjiran dengan gerai buah-buahan. Biasanya Pak Busulah yang belanja. Harga secawan ABC ketika itu Cuma 30 sen sahaja.

Sewaktu bercuti di kampung baru, kehidupan abah hanya berkisar kepada rumah, ladang getah dan panggung wayang. Berbeza dengan kehidupan di Shah Alam masa kini, waktu subuh akan dimulakan dengan suara azan bersahut-sahutan. Tetapi di Kampung Baru setiap jam 7.00 pagi akan kedengaran bunyi trompet dari kem garisan Sunggala. Bunyi terompet itu menjadi kenangan abah. Sebab itulah dalam deringan telefon bimbit abah, telah abah masukkan bunyi terompet yang sama. (Rindu sangat kot dengan bunyi tu – tidak, bukan bunyi terompet itu yang abah rindu, tetapi kenangan pada waktu itu.)

Sebaik bangun pagi, abah akan merayau-rayau sekitar rumah moyang Tumin. Sambil merayau sambil tengok pokok bunga dan berangan-angan. Udara pagi memang segar. Kemudian abah akan ke rumah belakang yang didiami oleh Moyang Omar. Abah suka mengutip buah-buah belimbing yang jatuh ke tanah. Kemudian abah berbual-bual dengan Moyang Omar yang duduk dimuka pintu rumahnya. Kemudian dia akan memanggil Tok Busu dengan suaranya yang parau dan kuat. “Mohammad!! beli surat khabar”. Mohamad yang dimaksudkannya itu ialah Tok Busu. Moyang Omar banyak menghabiskan masa tuanya dengan membaca surat khabar jawi yang berharga 25 sen sambil duduk di muka pintu bahagian dapurnya. Menurut kata Datuk Abu Zarin, ada satu perangai Moyang Omar yang agak pelik. Dia suka berjimat. Lauk pauk yang ada di rumahnya biasanya diberi oleh Moyang Aton (isteri Moyang Tumin). Dia hanya memanaskan beberapa kali. Untuk berjimat, kadang-kadang dia masukkan beberapa jenis lauk itu dalam satu periuk. Tekak abah kembang mendengar cerita Datuk Abu Zarin. Tetapi kata Datuk Abu Zarin, tak ada yang pelik sebab semua makanan itu akan masuk juga ke dalam perut yang sama.

Sebelah petang Tok Busu akan ajak abah menonton wayang gambar percuma di kem askar. Tok Busu akan berkayuh basikal dan abah duduk di atas palang basikal. Untuk masuk ke kem, kami terpaksa melalui post kawalan. Askar yang bertugas semacam memahami tujuan kami masuk kem dan mereka tidak pernah menghalang. Oleh kerana filem yang ditayangkan itu selalunya bermula waktu maghrib, tidak ramai yang menonton. Filem-filem yang ditayangkan selalunya filem cowboy atau filem perang. Selain kami berdua, si Razak sepupu abah juga kadang-kadang ikut sama. Begitu juga beberapa orang kawan Tok Busu. Antara yang masih abah ingat seorang yang bernama Miswan. Pada masa itulah abah kenal pelakon luar negara Yul Brenar.

Abah juga ternampak banyak piring hitam (lagu) bersaiz kecil di rumah moyang Tumin. Sekeping piring hitam ada dua bahagian. Sebelah hadapannya terdiri dari dua buah lagu. Kalau depan belakang ada empat buah lagu. Antara piring hitam yang abah jumpa itu ialah lagu Rafeah Buang, lagu Ahmad Jais, Lagu Tom Jones. Abah tak tahu siapa yang punya, mungkin Tok Busu atau Nenek Wang atau Nenek Nah. Abah tidak pernah pula nampak sesapa mainkan lagu di piring hitam itu. Selain itu di rumah moyang Tumin juga banyak komik-komik berbahasa Inggeris yang bertajuk “Commando”- komik kisah perang. Komik-komik itu kepunyaan Tok Busu. Masa itu harga sebuah komik ialah 50 atau 60 sen sahaja. Komik bergambar itu hanya bersaiz separuh kertas A4. Tok Busu selalu bergurau dengan abah sewaktu kami kecil. Dia selalu tiru lakonan dalam bangsawan di radio. Kalimat yang digemarinya alah “ Cis! Bedebah kamu. Sekarang terimalah tikaman terakhir ku yang tidak boleh dielak-elakkan lagi walau dengan apa cara sekalipun”. Bila dia kata begitu abah akan lari jauh sebab tikaman (penumbuknya) yang singgah ke perut abah pasti tidak boleh dielak lagi. Sewaktu abah berada di tingkatan lima, Sekolah Tunku Durah, ada seorang pelajar perempuan berada di tingkatan empat. Rupanya menurut Tok Busu, pelajar perempuan itu adalah Mak We nya (Wak We = kekasih). Entah ya entah kan tidak. Ada satu ketika Tok Busu bekerja di Syarikat Dunlop, dia menyewa bilik di Petaling Jaya Old Town. Abah juga pernah diajak datang ke biliknya. Sewaktu itu abah menjadi pelatih di Maktab Perguruan Lembah Pantai. Kalau tidak salah dari Kerinci abah akan naik bas mini bernombor 37. Kesian dia, dalam biliknya tak ada katil. Barang yang ada hanyalah tikar jerami dan bantal. Almari pun tak ada. Tak lama selepas itu dia bertukar ke Alor Star. Sewaktu Tok Busu berkahwin dengan gadis Alor Star, abah juga ikut rombongan perkahwinannya. Kami bermalam di “Rest House” Alor Star. Tok Busu rapat dengan nenek Satinah. Dia ambil berat kesihatan dan kebajikan kakaknya. Dia rajin ziarah nenek Satinah sewaktu nenek sakit atau tinggal di wad. Kini Tok Busu menetap di Kampung Baru SiRusa Port Dickson.

Abah juga berharap anak-anak abah hendaklah saling bantu membantu khususnya sesama adik beradik. Jangan sensitif jika ada kalangan adik beradik yang tidak sependapat. Doakan sahaja dari jauh mudah-mudahan Allah akan beri mereka taufik.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s