Satinah Tumin

Anak gadis ini lahir di tengah-tengah keluarga keturunan Jawa. Dia dilahirkan sekitar tahun 1934. Bapanya Tumin yang dipanggil “bapak” berasal dari Pachitan, Jawa Timur; datang bermusafir pada awal tahun 1920an. Ibunya, Aton yang dipanggil emak juga keturunan Jawa datang sekapal bersama-sama dua adik lelaki, emaknya dan kerabat lain. Mereka semua mendirikan penempatan di Batu 12 Pasir Panjang sebelum berpindah ke Kampung Arab dan kampung baru,  Port Dickson. Walau pun Tumin dan Aton lahir dan dibesarkan di pulau Jawa, Indonesia, mereka berkahwin di Port Dickson. Selepas berkahwin dengan Aton, mereka menetap di kampung Baru Sirusa, Port Dickson sebelum berpindah di Kampung Jimah Lama buat sementara waktu. Hanya pada tahun 1953 mereak berpindah semula ke Kampung Baru, SiRusa Port Dickson.

Satinah telah dilatih bekerja di sawah dan di ladang sejak kecil. Bahasa yang dituturkan di rumah ialah bahasa Jawa. Sehingga ke alam remaja, Satinah tidak bertutur dalam bahasa Melayu sehinggalah pada satu hari teman baiknya dan jirannya,  Maimun yang beberapa tahun lebih tua mengajarnya bahasa Melayu. Setiap kali berbual, Maimun akan menggunakan bahasa Melayu dan cuba dijawab Satinah walau masih pekat “telo” Jawanya.

Dia diajar membaca alQuran oleh ibunya sendiri. Dia juga telah diajar solat dan akhlak dari ibu dan bapanya. Pernah satu ketika rakannya Maimun mencuri buah dari kebun jiran mereka. Perbuatan Maimun itu disedari oleh Satinah. Maimun telah menggugut supaya tidak memberitahu sesiapa. Jiran yang dicuri buah itu menyedari kehilangan buahnya dan bertanya kepada jiran-jiran terdekat. Satinah lantas memberitahu emak Maimun  siapa yang mengambil buah itu. Akhirnya Maimun telah dimarahi oleh keluarganya sendiri. Oleh kerana marahnya pada Satinah, Maimun telah menampar Satinah dan memberi amaran tidak mahu berkawan dengan Satinah jika dia tidak mahu menyimpan rahsia pada masa akan datang.

Satinah banyak menghabiskan masa bersama bapa dan emaknya di sawah dan ladang.Oleh itu kerja-kerja di rumah diurus oleh adiknya. Kerana itulah sehingga ke akhir hayatnya, sekali pun dalam keadaan sakit Satinah gagahkan juga bekerja di tanah. Dia tidak janggal memegang cangkul, sabit, parang. Tidak janggal bercakap dengan lembu, ayam dan itik. Tidak kisah dengan pacat, lintah dan ulat bulu. Tidak gentar dengan ular hatta babi sekalipun. Baginya tanah, tanaman, haiwan peliharaan adalah sebahagian dari dirinya. Di situlah dunianya, dunia bekerja, bermain dan mengisi masa lapangnya.

Di zaman penjajahan Jepun, kehidupan keluarga Satinah yang susah menjadi sangat susah. Satinah hanya berusia 8 tahun sewaktu tentera Jepun mendarat di Tanah Melayu. Seperti gadis-gadis lain, Satinah juga sering menyembunyikan diri apabila ternampak askar-askar Jepun. Mereka tidak memilih tempat persembunyian. Pernah beberapa kali, Satinah dan keluarga hampir terserempak dengan tentera Jepun dalam perjalanan mereka berulang alik berjalan kaki dari Jimah Lama ke Kampung Arab. Mereka akan bersembunyi seketika sehingga ke celah-celah perdu buluh tanpa mengirakan bahaya ular dan miang buluh.

Satinah mula berkahwin dengan lelaki jawa yang dikenali sebagai Sawab. Perkahwinannya hanya bertahan  satu tahun sebelum Sawab menderita muntah darah.  Mereka tidak mempunyai anak  hasil perkahwinan ini. Menurut Maimun, kawan baik Satinah, dia menemani Satinah menjaga suaminya Sawab kerana Satinah takut dengan penyakit yang menimpa suaminya. Lima hari selepas muntah darah Sawab meninggal dunia dan di kuburkan di Kampung Jimah Lama. Tidak banyak diketahui tentang Sawab. Menurut Maimun, Sawab pernah tinggal di Pantai, Seremban dan menjadi anak angkat seorang keturunan India.

Satinah sekeluarga akhirnya kembali semula  ke Kampung Baru, Sirusa, Port Dickson sekitar penghujung tahun 1953. Kampung ini terletak berhampiran dengan kem tentera darat. Di Kampung Baru   Satinah dan keluarga tidak lagi bersawah padi tetapi berladang getah secara kecil-kecilan. Bapanya Tumin juga mengambil upah sebagai buruh. Sewaktu menjadi buruh membersih kawasan bagi mengelak penyakit Malaria, Tumin berkenalan dengan penyelianya. Perhubungan mereka agak rapat sehingga pada satu hari Tumin mempelawa penyelianya bertandang ke rumah. Di rumah, Tumin telah memperkenalkan penyelia itu kepada ahli keluarganya dan menawarkan penyelia itu untuk menikahi anak perempuan tertuanya Satinah. Penyelia itu bersetuju dan akhirnya mereka bernikah.

Anihnya mereka berkahwin di kampung Jimah Lama! Maimun yang menjadi pengapitnya.

Kedua pasangan ini tinggal sebuah rumah yang didirikan tidak jauh dari rumah ibu dan bapanya atun/tumin. Mereka tinggal di Kampung Baru Sirusa  sehinggalah anak pertama mereka berusia setahun iaitu pada tahun 1960. Satinah dan suami kemudian mendapat tawaran untuk membuka tanah ladang seluas lebih kurang lapan ekar tidak jauh dari kampung asalnya, kampung Jimah Lama. Penempatan baru itu kemudiannya dikenali sebagai Kampung Jimah Baru. Di kampung baru itulah Satinah dan keluarga bersama-sama 90 pasangan peneroka lain bergelut untuk hidup dan membesarkan anak-anak mereka. Satinah memulakan kehidupan di rumah atap nipah yang didirikan bersama oleh suami dan bapaknya Tumin. Malahan bahan binaan rumah lain di bawa dari Kampung Baru Si Rusa.

Pada mulanya halaman rumah dan kawasan tinggi bedekatan telah ditanam anak-anak getah. Lama kelamaan anak-anak getah yang ditanam bedekatan rumah itu ditebang. Bahagian paya yang berlumpur dan berair mula dikeringkan. Dua ekar tanah rumah yang diperuntukkan untuk tanah rumah itu telah digunakan untuk berkebun, bersawah dan berternak secara kecil-kecilan. Satinah sangat rajin bekerja. Seawal pagi dia sudah bangun membersihkan diri. Kemudian memasak air dan menyediakan sarapan untuk keluarga. Selepas itu dia akan bergegas mengerjakan solat subuh. Selepas itu dia akan membangunkan anak-anak dan memastikan mereka mandi, gosok gigi dan solat subuh.

Dia pernah beberapa lama mengangkat air dari perigi dengan menggunakan baldi dan meletakkan air di halaman. Dia juga akan memasak air panas dan mencampurkannya dengan air yang diangkat dari perigi. Dia mahu memastikan anaknya tidak kesejukan mandi. Ada masanya dia akan turun ke ladang getah seawal pagi iaitu jam 5.30 pagi dengan meletakkan pelita khas di dahinya. Dia biasa berjalan kaki ke ladang getah yang terleak kira-kira 1.5 km dari rumah. Hampir tengahari dia akan pulang ke rumah dan terus melepaskan lembu di kandang. Mula-mula lembu ini akan diheret ke tepi anak sungai untuk membolehkan lembu ini minum air. Kemudian lembu-lembu ini akan ditambat di kawasan yang berumput. Selepas urusan lembu-lembu selesai, dia bergegas ke dapur menyediakan makanan. Selepas solat zohor dia akan memberi lembu minum kemudian memindahkan lembu-lembut di kawasan berumput lain. Lembu-lembu itu akan ditambat dengan tali yang diikat dari hidung ke batang pokok kelapa atau ke besi tajam yang akan dicucukkan ke tanah.

Satinah pernah menyusu, memandi, menyuap dan mendodoikan ku sewaktu kecil. Dia sudah lama tiada di muka bumi ini. Bersempena Hari Ibu 2010 ini masih ada air mata ini untuk diteteskan. Dan ia akan terus menetes sehinggalah aku menyusuli wanita ini di alam barzah. Abah pernah menguji sejauh manakah kekuatan emosi abah pada nenek Satinah. Sebaik selepas kuburnya diratakan dan talkin telah sempurna dibaca, semua orang beransur-ansur meninggalkan kawasan perkuburan. Abah tidak terus berbuat demikian kerana abah faham, abahlah orang yang terakhir. Apabila abah melangkah tujuh langkah meninggalkan kubur nenek, nenek akan disoal oleh Munkar dan Nankir. Abah terus duduk bersendirian tidak jauh dari kubur nenek. Abah tidak bangun dari tempat mula-mula abah duduk sewaktu nenek dihantar ke kubur sehinggalah semua orang beredar pergi. Kemudian barulah air mata abah turun tidak berhenti-henti. Selepas tenang perasaan, abah hampiri kubur nenek dan berkata-kata dengan nenek. Abah berjanji kepadanya abah akan selalu mengirim pahala kepadanya dengan bacaan alQuran atau berzikir. Kemudian abah berdoa dan seterusnya meninggalkan kubur nenek. Sampai langkah ke enam, abah berhenti dan berpaling ke kubur nenek. Abah tahu, selepas langkah terakhir nenek akan ditanya dengan soalan dari malaikat. Abah berdoa sekali lagi mohon dipermudahkan urusan nenek dikubur. Kemudian barulah abah melangkah meningalkan kubur nenek. Apa yang abah lakukan pernah dilakukan oleh datuk Abu Zarin sewaktu ibunya iaitu moyang soyah dikebumikan. Dan abah melihat dengan mata abah sendiri betapa datuk Abu Zarin menyayangi ibunya dan abah dapat berkongsi perasaan itu di kubur nenek Satinah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s