1960-1970AN

Bersempena ulang tahun ke-50 pembukaan Kampung Jimah Baru, sebuah buku bertajuk “Keringat di Ladang” telah ditulis. Buku itu memuatkan sejarah/biografi kampung Jimah Baru hasil pengalaman abah, wawancara dengan penduduk asal yang masih hidup dan wawancara beberapa penduduk yang dikelompokkan sebagai generasi kedua. Bab 1 buku tersebut ada disertakan di halaman”RUMAH”.

Bahagian ini hanya akan menyentuh sedikit gambaran kehidupan di rumah bernombor 62 iaitu rumah datuk dan nenek dan di tanah ladang bernombor 78 iaitu tanah ladang getah datuk dan nenek. Seperti yang abah katakan, tulisan ini adalah untuk renungan anak-anak abah dan mungkin juga anak-anak saudara abah lain yang berminat membaca dan tidak berpeluang merasa hidup di kampung lebih-lebih lagi di rumah bernombor 62 Kg Jimah Baru.

Semua peneroka di kampung Jimah Baru diperuntukkan tanah kampung seluas 2 ekar dan tanah ladang seluas 6 ekar. Tanah kampung bernombor 62 terletak agak terpencil sedikit dari jalan utama yang membelah kampung. Bagaimana pun tanah 62 terletak berhampiran dengan jalanraya utama menghala ke Seremban atau ke Port Dickson.

Menurut keterangan Datuk Abu Zarin, proses penentuan tanah dibuat secara undi. Selepas undian Datuk dan nenek di tempatkan di tanah lot 62.  Oleh kerana   masjid perlu dibina, Lot Tanah 61, 62 dan 63 terpaksa diubah ke kawasan lain yang kini dikenali sebagai “kampung tiga”. “Kampung tiga” ini agak terpencil dari kawasan petempatan lain. Tanah 62 terdiri dari tiga bahagian iaitu dua bahagian lereng bawah tanah ladang yang ditanam getah. Satu lereng bersempadan dengan tanah Hasan Gurkha, manakala satu lereng lagi bersempadan dengan tanah Sudin Sajid. Antara kedua lereng ini terdapat kawasan berpaya dan di tepi paya menghala ke lereng tanah Hasan Gurkha terdapat sebatang anak sungai mengalir dari arah timur. Anak sungai ini berpunca dari hutan dara kemudian mengalir melalui kawasan berpaya, merentasi bahagian bawah jalanraya utama ke Seremban/Port Dickson, mengalir ke kawasan berpaya, merentas sedikit kawasan berpaya di tanah Nahar dan memasuki pula kawasan berpaya tanah 62. Anak sungai ini akan terus melalui tanah berpaya Ahmad Samah, Ibrahim Mualaf, Hasan Gurkha, Yusuf Awang, Abu Lampam dan bertemu dengan sungai utama kampung jimah yang mengalir dari hulu ke bahagian hilir kampung.

Sejak pembukaan kampung Jimah Baru pada 1 September 1960 sehingga awal tahun 1970-an, anak sungai di tanah 62 dan kawasan berpaya yang disebutkan sering mengalami banjir akibat limpahan air. Itulah sebabnya kawasan berpaya ini perlu di parit dengan tujuan untuk mengeringkannya. Abah sempat juga curi-curi bermain rakit yang dibuat dari batang-batang pisang bersama-sama kawan-kawan setiap kali banjir iaitu di kawasan limpahan air. Kawasan limpahan ini agak jauh sedikit dari lurah anak sungai. Nenek sebenarnya sangat marah jika dia tahu abah bermain air sewaktu banjir kerana aliran air di lurah anak sungai sangat deras.

Kenangan paling terawal yang abah ingat ialah sewaktu berusia empat tahun iaitu tahun 1964. Masa itu halaman rumah atuk dan nenek (atau Tanah kampung bernombor 62) masih lagi terdapat anak pokok getah setinggi lebih kurang paras lutut orang dewasa. Tidak lama kemudian barulah anak pokok getah tersebut ditebang bagi membolehkan atuk dan nenek menanam pokok buah-buahan di Tanah kampong (No. 62). Masa itu Pak Cik Zaini baru berusia setahun manakala Mak Cik Enon masih dalam kandungan nenek. Selain Atuk, Nenek, Pak Cik Zai dan abah tiada orang lain yang tinggal di rumah atap nipah tersebut.

Tidak lama kemudian, kakak abah iaitu Mak Cik Ani tinggal bersama. Mak Cik Ani sempat bersekolah di Sekolah sementara Kg Jimah Baru iaitu berdekatan dengan rumah Basir Toladi. Mak Cik Ani banyak bantu kerja nenek di dalam rumah terutama menjaga Pak Cik Zai yang masih kecil. Dia tidak pernah ke Tanah ladang. Masa abah darjah tiga, Mak Cik Ani sudah tidak tinggal bersama kami. Menurut Atuk, dia lebih suka tinggal bersama mak saudaranya atau datuk sebelah emaknya di Kuala Klawang. Di sana juga abang abah yang tua , iaitu Haris tinggal di sana bersama Mak Cik Rosnah. (Sebetulnya Pak Cik Harith dan Mak Cik Rosnah tidak pernah tinggal bersama kami di Kg Jimah Baru dan setahu abah mereka berdua ini tidak pernah menjejakkan kaki di Tanah ladang di Lot 78 apa lagi menoreh getah. Seorang lagi kakak abah iaitu Mak Cik Yah lebih banyak menghabiskan masa menemani emak kepada datuk di Kuala Pilah. Dia juga jarang datang ke Kg Jimah Baru dan lebih suka menemani emak kepada datuk atau bersama adik beradik lain di Kuala Klawang.

Abah baru tahu abah ada seorang kakak bernama Rosnah apabila datuk membawa abah ke Sekolah Tunku Durah Seremban. Kami menaiki motorsikal. Mak Cik Rosnah duduk di asrama di sekolah tersebut. Pak Cik Harith hanya sampai ke Kg Jimah Baru ketika usia abah 21 atau 22 tahun. Masa itu dia berusia awal 30-an. Mak Cik Rosnah hanya datang sekali sekali sekala ke kampung Jimah setelah dia berumah tangga. Sehingga lah Datuk dan Nenek meninggal dunia, setahu abah adik beradik abah yang berlainan ibu ini tidak pernah masuk ke ladang getah membantu datuk dan nenek. bagaimana pun abah mengaku Mak Cik Ani sahaja yang berada agak lama sedikit bersama datuk dan nenek, mungkin dalam empat atau lima tahun tetapi lebih banyak masa berada dalam rumah atau menanam pokok bunga pudding di halaman rumah.

Sejak awal tahun 1970-an sehingga pertengahan tahun 1970-an, masalah air melimpah atau banjir ini sudah kurang berlaku. Hal ini disebabkan kawasan hutan dara yang terletak di sebelah timur sudah dibuka untuk tanaman pokok kelapa sawit. Ladang kelapa sawit itu diageh-agehkan kepada peneroka Felda Sendayan yang merupakan jiran Kampung Jimah. Kemudian air sungai mula kering kerana kawasan tadahan sudah tercemar teruk. Setiap lot tanah akan ditentukan sempadannya dengan batu sempadan. Batu ini ditanam di setiap penjuru. Biasanya batu sempadan ini tertanam atau ditutupi oleh semak/belukar sehingga susah untuk mencarinya. Oleh itu Datuk dan nenek telah memasang pagar supaya sempadan tanah kampung ini jelas. Abah sering dipanggil oleh datuk dan nenek menolong mereka mengangkat kayu yang telah dibelah, menggali lubang, menarik kawat berduri atau memaku kawat berduri dengan penukul/tukul besi. Kayu pagar itu dipotong dan belah sendiri dari hutan berdekatan. Setiap kali jika nenek temankan datuk bekerja, datuk tidak dapat menyuruh abah tolongnya bekerja. Ini kerana awal-awal lagi nenek akan suruh abah buat kerja sekolah. Tetapi jika nenek nampak abah sudah mula bekerja membantu datuk, dia diam sahaja.

Setiap penduduk kampung telah diberitahu supaya memastikan tanah milik mereka tidak semak. Begitu juga dengan tanah kampung bernombor 62. Anak-anak pokok liar yang dipanggil “pokok kayu” seperti senduduk dan lalang tidak berpeluang tumbuh. Nenek akan mencabut sendiri dengan tangannya atau mencangkul. Datuk pula akan menebas, memesin atau jika perlu meracunnya. Itulah sebabnya tanah kampung sentiasa bersih dan terurus. Malahan tanah ladang getah juga sangat bersih. Malangnya selepas penduduk dapat geran tanah, dan selepas jawatan penyelia dimansuhkan, pengurusan kebersihan ini sudah tidak lagi menjadi keutamaan.

Rumah

Rumah terawal yang didirikan oleh Datuk dan nenek ialah sebuah rumah beratap nipah, berdinding buluh. Bapa kepada Nenek turut membantu. Malah beberapa bahagian dari rumah tersebut seperti tiang dan papan diambil dari rumah yang pernah diduduki oleh datuk dan nenek di Kg baru, Sirusa Port Dickson. Abah merasa tinggal di rumah beratap nipah ini. Bila hujan datuk akan mencari lubang-lubang yang bocor untuk ditampal. Apabila hari siang, dia akan menggantikan atap yang bocor tersebut dengan atap baru yang dianyam sendiri dari nipah di hutan berhampiran.

Tidak lama kemudian sebuah rumah beratap zink dan berdinding papan telah dibina. Rumah itu tidaklah besar dan hanya mempunyai satu bilik sahaja. Rumah itu dibina oleh Daham, kawan Atuk dengan bantuan Atuk. (Sebenarnya Daham diupah oleh Atuk untuk membantunya mendirikan rumah). Di bahagian dapur dibina tempat memasak. Binaannya setinggi dan seluas meja makan sekarang. Di bahagian atasnya direntangkan dua besi panjang sebesar ibu jari dengan dipangku oleh batu bata di kedua-dua hujungnya. Di atas besi itulah diletakkan periuk dan kuali untuk memasak. Di bahagian bawah dapur itu seperti di bawah meja, diletakkan pula tempat untuk kayu bakar. Kayu itu disusun kemas. Getah sekerap yang kering akan dibakar dicelah-celah kayu api kering untuk memulakan bakaran. Jika berkemampuan sedikit minyak tanah akan digunakan menggantikan getah sekerap kering. Kayu-kayu itu adalah dahan kayu getah yang jatuh ke bumi. Kayu-kayu ini akan dipotong dengan parang dan dikeringkan. Jika ada dahan atau pokok mati, dahan atau pokok ini akan digergaji sepanjang lebih kurang tiga kaki dan dibelah dengan menggunakan kapak. Kayu yang dibelah ini akan dikeringkan di bawah panas matahari dengan cara menyusunnya bertindih dalam bentuk empat segi sama. Biasanya nenek dan abah akan merayau-rayau di ladang getah berhampiran untuk mencari dahan kayu getah yang jatuh ke tanah. Kami akan mengheretnya ke rumah. Kemudian nenek dan abah akan memotong dengan gergaji. Sebenarnya jika tiada abah pun nenek boleh buat kerja bersendirian. Dia lebih suka memotong dahan-dahan kayu kering itu dengan parang. Kayu-kayu yang lebih besar akan dibelah dengan menggunakan kapak. Berhampiran pintu utama masuk ke rumah di letakkan sebuah pasu. Pasu ini sentiasa dipenuhi air. Pasu ini disediakan untuk membasuh kaki sewaktu penghuni rumah mahu masuk ke rumah. Pada tahun 1960 dan awal tahun 1970-an berkaki ayam adalah satu perkara biasa bagi penduduk kampung. Setiap kali masuk ke rumah, mereka akan membasuh kaki terlebih dahulu bagi mengelak lantai bersimen di bahagian dalam rumah kotor.

Pada awal tahun 1970-an, rumah MARA jenis A didirikan lebih kurang tiga kaki jaraknya dari rumah sedia ada. Rumah sedia ada ini telah menjadi bahagian dapur. Manakala rumah MARA yang baru didirikan menjadi dua bilik, ruang tengah dan serambi. Pada peringkat awal Atuk, nenek, abah dan Yusof kawan baik abah memikul kayu-kayu dan bahan binaan yang diturunkan dari lori lebih kurang 60 meter dari tapak. Kerja mengangkat kayu tidak berat berbanding artap jenis Ardec. Kerangka rumah MARA telah disiapkan oleh Daham, salah seorang peneroka kampung. Kemudian binaan ini ditegakkan secara bergotong royong. Apabila kerangka sudah berdiri tegak, Atuk memasang sendiri dinding dan pintu. Dia juga sering minta abah membantu memahat kayu, memotong papan dan memegang papan ketika dia mahu memaku. Seperti biasa nenek akan sediakan teh tarik yang diletakkan ke dalam kole besar.

Berbanding dengan rumah sebelumnya, rumah baru ini lebih besar dan memerlukan halaman yang lebih besar. Oleh itu Atuk telah menggali tanah di bahagian belakang dan memasukkannya ke dalam kereta sorong. Kemudian kereta sorong ini akan ditolak ke tepi halaman berlereng di bahagian hadapan. Di situlah tanah dilambakkan. Tugas-tugas ini dilakukan bersama abah dan Pak Cik Zai. Nenek pula menyediakan minuman yang diletakkan ke dalam kole besar beserta ubi goreng. Kerja-kerja ini agak sukar dan memakan masa. Berbanding dengan jiran terdekat, kerja-kerja meluaskan bahagian halaman rumah mereka dilakukan dengan jentolak dengan dibayar upah.

Selepas penambakan tanah untuk bahagian halaman siap, Mak Cik Ani menanam pelbagai jenis pokok puding. Mak Cik Ani memang rajin menanam, membaja dan menyiram pokok puding. Nenek tidak menolong kerana nenek tidak suka menanam pokok bunga. Menurut nenek daripada dia menanam pokok bunga lebih baik dia menanam pokok cili, terung, serai dan lain-lain. Dapat juga hasil, kata nenek. Pernah satu ketika datuk dan nenek ikut rombongan peneroka ke Cameron Highland. Di sana datuk dan nenek telah membeli pokok bunga mawar (ros). Bunganya berwarna merah jambu dan bunganya besar tidak seperti bunga mawar lain di kampung. Datuk tanam pokok bunga itu tidak jauh dari tempat pancuran air pertemuan dua bumbung iaitu bumbung dapur dengan bumbung bilik. Pokok mawar itu tumbuh dengan segar sekalipun tidak di tanam di tanah tinggi. Bunganya sangat lebat malah lebih banyak bunga dari daun.

Bagi mengelakkan dahan bunga mawar itu melentuk ke tanah datuk telah pacakkan kayu di sebelah pokok mawar. Kemudian batang pokok mawar ini diikat dengan wayar ke kayu yang dipacak. Seingat abah, pokok mawar itu tumbuh lebih empat kaki tinggi dari tanah. Ramai jiran atau tetamu yang datang berminat dengan pokok itu dan nenek akan mematahkan dahan untuk membolehkan mereka menanam di rumah masing-masing. Tapi sayangnya pokok itu tidak sesubur yang ditanam oleh Datuk. Rahsianya ialah Datuk tanam di atas busut! Benih pokok mawar itu masih ada lagi di rumah Pak Cik Zai.

Makanan Abah, Nenek dan Datuk

Sebelum getah ditoreh pada tahun 1968, kehidupan abah, nenek dan datuk agak susah tetapi kami tidak kisah pun. Setiap pagi sebelum abah ke sekolah, nenek sudak menggorengkan tepung untuk dijadikan cengkodok. Kami hanya panggil “kodok” sahaja sedangkan kodok adalah nama lain pada katak. Biasanya kondok itu nenek campur tepung, garam dengan cili api. Kalau ada duit lebih, kodok itu nenek campur dengan ikan bilis. Nenek juga sesekali buat kodok dan dicampurkan dengan kelapa dan kami namakan kodok kelapa. Jika ada gula lebih sikit, nenek akan buat kodok manis iaitu tepung campur gula. Untuk mengelakkan bosan atau jemu, nenek tukar menu kepada lempeng. Kadang-kadang nenek buat lempeng kelapa, kadang-kadang lempeng pisang tetapi biasanya lempeng tanpa dicampur apa-apa. Kodok atau lempeng kosong ini biasanya dicecah dengan sambal tumis masakan nenek. Tetapi sambal tumisnya jarang dicampur dengan ikan bilis atau aji no moto atau pun gula. Nenek sendiri tidak suka sambal tumisnya dicamur aji na moto. Datuk pula tidak begitu suka cecah sambal. Biasanya datuk makan begitu sahaja, tetapi kalau ada gula datuk akan cecah sedikit gula. Kalau tepung tidak ada nenek akan goreng ubi kayu atau rebus ubi kayu. Tetapi sambal pasti ada sebagai bahan pencecahnya. Kalau ada pisang, nenek akan rebus pisang. Sangat jarang nenek buat goreng pisang sewaktu sarapan pagi. Biasanya nenek akan buat goreng pisang sewaktu petang. Nenek lebih suka jual pisang daripada menggunakan untuk keperluan sendiri. Minuman pula ialah tea (susu) yang dibuat dalam kole besar. Datuk tak kisah apa sahaja bahan makanan tetapi dia akan merajuk jika nenek tak buat teh (susu). Nenek pula tak suka minum susu – dia biasanya minum air kosong atau teh o tanpa gula. Sesekali kalau ada kopi dia minum kopi O. Sewaktu makan tengahari, kami makan seadanya. Kami duduk di lantai dan tidak ada kerusi. Sebelum makan atuk dan abah pakai songkok. Menu biasa ialah kicap dan ikan kering.

Selain dari hasil kampung seperti sayur-sayuran hutan, ikan air tawar kami juga makan hasil tanaman dan ternakan nenek dan datuk. Kami makan bersila. Pada peringkat awal orang lelaki makan dengan memakai pakaian pelekat dan bersongkok. Perempuan pula duduk bersimpuh. Sewaktu nenek Soyah masih hidup semua lauk akan diletakkan ke dalam piring, dan piring-piring ini akan diletakkan ke dalam dulang besar. Tetapi kemudiannya kami tidak gunakan dulang. Lauk pauk diletakkan sahaja di atas tikar mengkuang. Nenek juga sudah sediakan tempat basuh tangan iaitu air yang diletakkan dalam mangkuk kecil. Nenek panggil sebagai tempat “kobokan” iaitu tempat basuh tangan. Nenek sekali pun pandai cakap jawa tetapi dia tidak pernah mengajar anak-anaknya bercakap jawa. Kalau ada pun dia cuma ajar datuk abu zarin sahaja dan selalu juga abah dengar mereka berbual dan bergurau dalam bahasa jawa.

Sebut fasal lauk, datuk Abu Zarin pantang kalau makan nasi tanpa berkuah. Kuah yang paling dia gemar ialah masak lemak cili api. Lauk yang paling dia gemar pula ialah siput sedut masak lemak cili api. Sebab itulah abah juga suka siput sedut. Tidak hairanlah kami berdua dapat sakit gout apabila melangkah umur 40 tahun! Datuk juga suka sangat sayur keladi. Dia selalu suruh abah cari keladi di kampung hilir sebab jenis keladi yang tumbuh di tanah sendiri datuk dia tidak suka. Katanya gatal. Nenek pula tidak kisah sangat fasal lauk. Asal ada sambal tumis dan ikan kering sudah cukup. Kami hanya minum air kosong sewaktu makan tengahari.

Sebenarnya di kampung terdapat banyak sumber makanan. Contohnya kalau rajin merayau dalam kebun getah kita akan terjumpa cendawan pelbagai jenis yang boleh dimakan. Sayur kangkung, pucuk pegaga dan keladi banyak ditemui di kawasan berpaya. Begitu juga pucuk ubi, jantung pisang, rebung, pucuk memperai dan pelbagai jenis ulam boleh didapati dengan mudah. Kalau sanggup boleh makan belalang kunyit dan tupai memang banyak berkeliaran. Di sungai atau anak sungai banyak ikan air tawar seperti keli, haruan dan ikan putih. Jika mahu rasa daging, ayam hutan, pelanduk/napuh, burung wak wak, burung tekukur pun boleh disembelih. Kalau malas bertani sekali pun, campak sahaja batang ubi kayu, serai, anak pisang, biji nangka, biji betik insyaALlah akan tumbuh dengan sendiri asalkan tidak diragut lembu atau kambing.

Lauk dan nasi makan tengahari biasanya disimpan untuk makan malam. Makan malam biasanya selepas maghrib. Kami makan di bawah sinaran pelita. Selepas isya’ biasanya kami tidur selepas mendengar siaran bangsawan di udara. Saat yang paling abah suka masa kecil ialah hujan waktu malam. Air hujan yang jatuh atas atap nipah atau zing seperti sebuah lagu. Abah tidur nyenyak kerana cuacanya sejuk. Abah tahu, perkara yang abah suka itu tidak menyenangkan datuk dan nenek. Jika hujan mereka pasti tidak gembira sebab pokok tidak boleh ditoreh keesokan paginya atau tanaman mungkin akan rosak apabila kena banjir. Abah juga pernah nampak sewaktu masih kecil, sebaik hujan turun, datuk Abu Zarin akan menampal atap nipah yang bocor dengan plastik. Jika tempat yang bocor itu banyak, datuk akan menganyam atap baru nak menukarkan dengan atap nipah yang sudah bocor.

Tanaman Padi

Pada tahun 1960-an kawasan berpaya di tanah 62 ini telah ditanam padi. Tapi tanah berpaya Nahar sehinggalah tanah berpaya berhampiran hutan di sebelah timur tidak berusik dan ditumbuhi oleh pokok sendayan dan tumbuhan berpaya. Tanaman padi di tanah 62 menghadapi cabaran yang perit. Apabila hujan turun, air akan melimpah dan membanjiri tanah sawah. Selain itu serangan burung, tikus dan binatang perosak lain yang datang dari belukar berpaya dan hutan dara sukar diatasi. Padi yang ditanam pula ialah jenis padi yang berbuah setahun sekali. Tanah 62 hanya sempat mengusahakan tanaman padi ini dalam tiga tahun sahaja. Sepanjang tanaman padi diusahakan, Atuk Abu Zarin dan nenek Satinah telah dibantu oleh Moyang Soyah. Moyang Soyah ialah emak kepada atuk Abu Zarin. Kulitnya sangat putih (putih kuning). Abah panggilnya “Wan”. Tapi kalau emak nenek, abah panggilnya “nenek”. Moyang Soyah berpengalaman menguruskan tanaman padi kerana dia juga menanam padi di Kuala Pilah.

Pernah satu ketika apabila pokok padi separas lutut orang dewasa, melintas seekor burung wak wak. Burung ini datangnya dari belukar berpaya di bahagian timur. Burung ini kecil sedikit dari ayam dan berbulu hitam dan putih. Burung ini banyak bergerak dengan cara berjalan dan berlari. Jika dikejar, burung ini akan berlari dan terbang sedikit-sedikit dalam jarak 10-20 meter apabila perlu. Kemudian burung ini akan berjalan atau berlari. Seperti ayam wak-wak ini boleh di sembelih dan dijadikan lauk yang enak. Sebaik nampak burung wak wak, moyang Soyah terus mengejar untuk cuba menangkapnya. Dia menjerit-jerit minta dibantu. Pada masa itu usia abah dalam lingkungan lima atau enam tahun. Abah juga turut membantu. Sayang sekali burung wak-wak itu lebih pantas lari di celah-celah pokok padi dan terus menghilangkan diri di belukar berpaya.

Atuk Abu Zarin sering membunyikan batang padi seolah-olah seperti serunai. Dari juga mengajar abah bagaimana memilih batang padi yang baik dan membunyikan mengikut irama yang disukai. Sewaktu padi mula berbuah, burung dan tikus mula menyerang. Atuk dan nenek cuba menakut-nakutkan haiwan perosak tersebut dengan memasang tali yang diikat kepada tin-tin. Setiap kali kami nampak kawanan burung datang, kami akan menarik tali tersebut. Tin akan berbunyi dan menakutkan burung-burung pipit dan burung pipit uban. Abah yang masih kecil memang suka menarik tali tersebut sekali pun tiada kawanan burung yang datang.

Selain dari membunyikan tin, Atuk dan Nenek juga memasang orang-orang di tengah bendang untuk menakutkan burung. Apabila tiba musim padi masak, abah boleh lihat kegembiraan yang terpancar di wajah Atuk, nenek dan moyang soyah. Padi yang berwarna keemasan akan melentuk tunduk menghala ke bumi. Sebab itulah ada perumpamaan yang berbunyi, “Ikutlah rasmi padi, semakin tua semakin tunduk”. Sebaik masak padi akan dipotong sama ada dengan sabit atau dengan penuai. Atuk, nenek dan moyang tidak menggunakan sabit tetapi menggunakan penuai. Penuai diibuat khas oleh Moyang soyah dan Atuk Abu Zarin. Padi yang telah dituai akan dibanting untuk memisahkan buah padi dengan tangkai. Sebuah pondok kecil dibina untuk tujuan ini. Buah padi yang sudah berpisah dari tangkai kemudian akan dikumpul dan dijemur di atas tikar mengkuang.

Selepas kering buah padi ini akan ditumbuk dengan lesung kaki atau lesung tangan. Biasanya nenek akan menumbuk dengan menggunakan lesung tangan. Atuk pula akan menumbuk dengan menggunakan lesung kaki. Moyang Soyah hebat. Dia boleh tumbuk dengan lesung tangan dan kaki. Abah juga sering diminta oleh Atuk untuk membantunya menumbuk padi dengan lesung kaki. Peringkat seterusnya ialah mengasingkan padi dari sekam. Proses ini dilakukan dengan cara mengayak dan menganginkan dengan menggunakan pengayak yang dibuat dari mengkuang. Dulang juga boleh digunakan tetapi dulang lebih berat. Moyang Soyah dan nenek lebih suka menggunakan pengayak yang buat dari mengkuang.

Sebenarnya Moyang Soyah juga mahir dalam menganyam tikar dan pengayak. Kemahiran ini turut diajarnya kepada Atuk dan nenek. Atuk pernah menanam pokok mengkuang di tepi anak sungai bersempadan dengan tanah Nahar. Daun mengkuang yang sudah matang akan dipotong dan seterusnya dilayur dan di potong. Moyang Soyah juga pandai mewarna daun-daun mengkuang yang telah dipotong ini sebelum dianyam. Percubaan Membuka Kolam-Kolam Ikan Menguruskan tanaman padi memerlukan tumpuan masa yang lebih. Selain dari ancaman binatang, air juga menjadi masalah. Oleh itu Atuk dan nenek sepakat menghentikan usaha penanaman padi.

Sebaik usaha ini dihentikan, Atuk dan nenek giat pula mengeringkan kawasan berpaya. Mereka menggali beberapa jaluran parit untuk mempercepatkan proses pengeringan paya. Dengan adanya parit-parit ini, jika berlaku banjir sekali pun air akan cepat surut. Abah lihat sendiri nenek sangat kuat bekerja. Sekali pun dia kerap diserang penyakit lelah, dia sentiasa ke paya untuk membina parit. Kadang-kadang abah kasihan melihatnya dan cuba membantu. Biasanya nenek akan bertanya pada abah dahulu. “Kerja sekolah sudah buat ke belum”. Jika abah kata belum, dia lebih suka abah buat kerja sekolah dari membantunya. Abah masih ingat lagi ramai penduduk kampung yang membantu Atuk menggali kolam untuk dijadikan kolam ikan. Tetapi usaha tersebut terhenti ditengah jalan kerana mereka diberitahu rancangan untuk membuka hutan dara di kawasan tadahan untuk dijadikan tanaman kelapa sawit. Jika ini berlaku, kolam ikan sudah pasti menghadapi masalah kekurangan air. Kenyataan ini berasas kerana penduduk lain yang tidak membuka sawah padi telah lebih dahulu membuka kolam ikan. Kolam-kolam ikan tersebut juga menghadapi masalah yang sama. Bagi mengelak pisang berbuah dua kali, usaha pembukaan kolam itu dihentikan separuh jalan.

Tanaman Sayur-Sayuran dan Buah-Buahan

Oleh kerana kolam tidak dapat dibuka tanah paya tersebut telah ditanam dengan sayur-sayuran. Antara sayuran yang ditanam ialah pisang, keledek, kacang panjang, bendi, sawi, terung dan cili. Kangkung, keladi dan pegaga tidak perlu ditanam kerana sayuran ini memang hidup meliar. Kadang-kadang Atuk meminta abah membantunya menyediakan batas-batas tanaman, menanam sayuran, membaja dan menyiram. Atuk juga mengajar abah cara membunuh serangga perosak. Atuk memang ada kemahiran berkebun kerana dia juga pernah mengikuti kursus pertanian dan ternakan. Setiap kali abah turun membantu Atuk, nenek akan bertanya. “Kerja rumah(kerja sekolah) sudah siap ke belum?” Jika abah jawab belum, dia akan suruh abah balik ke rumah buat kerja sekolah. Atuk dan nenek juga mendapat bantuan anak-anak pokok buah-buahan dari Jabatan Pertanian Daerah. Antara anak pokok yang diterima ialah durian, rambutan, mangga, belimbing dan lain-lain. Alhamdulillah tanaman pokok durian dan rambutan menjadi. Pokok-pokok lain yang ditanam dipaya sukar tumbuh. Anak-anak pokok ini di pagar dengan dawai berduri bagi mengelakkan dari di makan lembu-lembu.

Ternakan

Sejak mula menetap di kampung Jimah Baru, Atuk dan nenek memang memelihara ayam dan itik secara kecil-kecilan. Membela ayam kampung sangat mudah. Setiap pagi nenek akan membuka pintu reban. Ayam-ayam akan meluru keluar dari reban dan mengelilingi nenek. Nenek akan menabur lebihan nasi untuk makanan ayam. Ayam kampung itu dibiarkan lepas bebas mencari makanan sendiri. Apabila senja ayam-ayam itu tahu sendiri masuk ke reban. Beberapa ekor ayam yang degil akan di kepung oleh nenek supaya masuk ke reban. Pernah satu ketika seekor ular sawa yang kekenyangan dijumpai di reban. Atuk dan nenek juga akan menyediakan tempat bertelur yang dipanggil petarang ayam. Ada juga ayam-ayam betina ini yang tak mahu bertelur di tempat yang disediakan. Ayam-ayam ini biasanya memilih sendiri tempat bertelur. Ayam-ayam degil ini ada yang bertelur sehingga di dalam dapur. Nenek biasanya akan memastikan keselamatan telur-telur ini dari biawak dan ular. Ular agak jarang mengganggu berbanding dengan biawak. Nenek dan abah selalu menghambat biawak dan kalau dapat biawak ini akan dibunuh. Sering juga peladang keturunan India dari ladang getah sebelah kampung datang merayau-rayau mencari biawak. Musuh ayam adalah helang. Helang terbang tinggi berpusing-pusing mencari mangsa. Pada masa itu ayam-ayam yang sedar akan berketak memberi tahu musuh sedang mengintip. Ayam-ayam ini akan melarikan diri menyorok dan menyusup di tempat-tempat yang selamat. Nenek juga akan bersorak sambil bertepuk tangan “hu..hu..hu..Selalu juga ayam-ayam ini lambat menyedari kedatangan helang malah nenek lebih awal mengesan kehadiran helang. Nenek akan bertepuk tangan dan menjerit “hu..hu..hu..” Lama kelamaan ayam –ayam itu seperti faham dan melarikan diri bersembunyi jika nenek terlebih dahulu nampak helamg dan nenek menjerit “hu..hu..hu..” sambil bertepuk tangan. Oleh itu bagi nenek dan ayam-ayamnya perkataan “hu, hu” hanya untuk memberitahu ayam mereka sedang dalam bahaya. Tetapi jika mahu memanggil ayam, nenek akan memanggilnya dengan panggilan “kurr, kurrrr, kurrrrrr”. Teringat abah satu cerita lucu kisah ayam ini.

Pada satu pagi moyang soyah memberi makan ayam. Tiba-tiba dia terdengar suara abah meraung kesakitan. Moyang Soyah berlari mendapatkan abah. Sebelah abah berdiri Atuk Abu Zarin. Moyang Soyah memarahi Atuk Abu Zarin. “ Ekau nak bunuh anak ko Zarin?” Atuk Abu Zarin menjawab “ Ni hah, budak ni telingonya masuk keronggo.” Mendengar penjelasan Atuk Abu Zarin, Moyang Soyang, menjerit “Poi ambik minyak, ambik minyak”. Abah tak tahu banyak mana Moyang Soyah masukkan minyak dalam lubang telinga abah sebab masa itu telinga abah sakit sungguh. Sampai tiga atau empat bulan masih lagi tidak selesa kerana ada bunyi “kruuuk..krukkkk” dalam telinga. Kalau tidak silap masa itu usia abah 12 atau 13 tahun.

Atuk dan nenek juga mendapat bantuan seekor lembu dari kerajaan. Lembu itu dinamakan “comel” oleh nenek. Comel hidup agak lama. Kalau tak salah kata nenek umurnya 20 tahun lebih dan telah melahirkan lebih 20 ekor anak. Antara anak-anak comel ialah “gebu” dan “hitam”. Hanya comel dan gebu sahaja yang memahami nenek. Nenek juga kelihatan selalu berbual-bual dengan comel. Kalau comel terlepas dari ikatan nenek akan mencarinya dan memanggil nama comel. Comel akan menjawab dengan melenguh. Anihnya comel tidak akan menjawab panggilan selain dari nenek. Comel juga sering memanggil nenek apabila dia lapar dan dahaga. Begitulah rapatnya hubungan nenek dengan comel dan gebu.

Hitam pula lebih degil. Dia selalu merosakkan tanaman. Nenek selalu memerahi hitam. Comel seperti memahaminya. Sebab itu comel selalu menyondol hitam jika nenek marah pada hitam. Setiap petang nenek akan membawa lembu-lembunya meragut di kawasan yang agak jauh dari rumah. Sebelum senja, nenek akan membersih kandang lembu dan menaburkan abu di atas tempat tidur lembu. Nenek kemudian memasang unggun api supaya nyamuk dan penyengat tidak menyerang lembu-lembu. Tahi lembu pula akan dikumpulkan dan dijadikan baja tanaman.

Pada awal tahun 1970-an, kerja-kerja menjaga lembu, membaja, memasang unggun api dan membersih kandang lembu ini biasa sangat abah lakukan. Seingat abah, Pak Cik Zai juga ada membantu. Selain dari lembu, Atuk juga membela kambing. Satu bangunan telah dibina oleh Atuk untuk menempatkan kambing-kambingnya. Membela kambing agak leceh. Rumput perlu disabit. Unggun api wajib dipasang terutama pada musim hujan jika tidak kambing akan mudah kembung. Abah tidak terlibat sangat menjaga kambing. Berbanding dengan lembu, Atuk lebih rajin menguruskan kambing.

Atuk dan nenek juga rajin membela itik bemban. Membela itik bemban juga agak leceh dan tidak begitu menguntungkan. Selain dari kambing nenek juga tidak begitu suka dengan itik bemban. Tidak seperti ayam, sebaik keluar dari reban nenek terpaksa mencampur lebihan makanan ke dalam bekas yang berisi air. Itik-itik itu akan menyudu dengan rakusnya mencari makanan dalam air. Selepas makan pagi, itik-itik ini berjalan berderet menuju ke anak sungai untuk bermain air. Itik seperti ayam dilepaskan begitu sahaja dan haiwan ini tahu pulang ke reban sebaik masuk waktu senja.

Pada hujung tahun 1960-an Atuk dan nenek mendapat bantuan jabatan haiwan daerah untuk memelihara ayam daging. Atuk telah mendirikan dua baris bangsal ayam dewasa. Selain itu terdapat satu bangsal yang menempatkan petarang ayam untuk ayam-ayam yang baru menetas dari telur. Petarang itu berukuran lima kaki persegi dan setinggi tiga ke empat kaki. Bahagian atasnya terdapat jaring. Dalam petarang itu terdapat lampu ayam, tempat minum dan makan yang sesuai untuk anak-anak ayam. Abah kerap membantu Atuk mengisi tempat minum dan makanan ayam. Ayam dewasa di tempatkan di bangsal berasingan. Suara ayam-ayam ini sangat bising. Ayam-ayam ini sentiasa dalam keadaan lapar sekalipun baru diberi dedak. Oleh kerana tidak mampu, Atuk juga mengambil sagu dari hutan berdekatan. Kata Atuk ayam yang dibela itu jenis ayam Saigon. Ayam itu pantang dilepaskan ke tanah. Jika dilepaskan akan mudah dapat penyakit. Penyakit ini pula mudah merebak kepada ayam-ayam lain. Oleh kerana tidak cukup makan atau memang ayam itu jenis yang kuat makan, Atuk Abu Zarin cuba melepaskan beberapa ekor ayam itu ke tanah. Ayam itu mematuk dan makan rumput yang biasanya di makan oleh lembu. Tidak lama kemudian ayam-ayam itu jatuh sakit. Sebelum mati Atuk sempat sembelih ayam-ayam itu. Sejak itu kami sekeluarga sering makan lauk ayam.

Kerja-Kerja di Ladang Getah

Sewaktu mengusahakan tanaman padi, Atuk dan nenek juga sering ke ladang getah untuk membersihkan ladang dan menyulam anak-anak getah yang berpenyakit/mati atau pun membaja. Anak-anak getah perlu sentiasa dijaga kerana monyet-monyet dari hutan sering datang merosakkan anak-anak getah. Selain itu belalang kunyit juga sering makan pucuk-pucuk getah. Pernah satu ketika Atuk membawa pulang berpuluh-puluh ekor belalang kunyit dan memberikan kepada abah untuk dijadikan barang permainan.

Sebenarnya belalang kunyit ini boleh digulai dan dimakan tetapi nenek tidak suka memasak atau makan belalang. Berbanding Atuk, dia suka juga makan gulai belalang. Abah masih ingat pada satu ketika, Atuk membawa abah bertandang ke rumah Bujang Bulat di sebelah hilir kampung. Kami turut makan gulai belalang yang disediakan. Getah mula ditoreh pada tahun 1968. Abah lihat Atuk dan nenek gembira sekali. Mereka sudah bersedia dengan pisau toreh. Beberapa minggu sebelum pokok ditoreh mereka telah memasang dawai, cawan dan sudu getah. Hampir 95% pokok yang telah ditanam boleh ditoreh. 5% lagi masih muda kerana pokok itu adalah pokok gantian/sulaman menggantikan pokok asal yang mati atau berpenyakit.

Pada peringkat awal, Atuk dan nenek seperti peneroka lain turun awal ke kebun getah. Kadang-kadang jam 5.00 pagi mereka sudah bersiap. Mereka akan memasang lampu di kepala untuk menyuluh tempat torehan. Kemudian leih kurang jam 6.00 pagi, mereka akan pulang ke rumah untuk solat subuh dan memastikan anak-anak sudah siap untuk ke sekolah. Selepas semua anak-anak ke sekolah, mereka berdua akan ke kebun getah semula menyambung tugas-tugas mereka. Jam 11 ke 12 tengahari mereka akan mengandar getah cair untuk ditimbang di pusat pengumpulan getah yang dipanggil stor getah. Apabila Atuk mampu membeli motorsikal Honda 65CC, mereka tidak perlu lagi mengandar getah. Getah dihantar ke stor getah dengan menggunakan tong yang diletakkan di tempat duduk belakang motorsikal.

Jika cuti sekolah, abah akan membantu nenek mencuci getah. Apabila abah sudah pandai menoreh, biasanya abah akan bantu Atuk dan nenek menoreh. Sejak berada di tingkatan empat dan lima, abah sudah boleh menghantar sendiri getah ke stor getah dengan menaiki motorsikal. Abah juga berpeluang mengambil upah menghantar getah peneroka lain ke stor getah. Teringat juga kisah lucu sewaktu berkerja di ladang. Satu pagi abah mencuci cawan getah di bahagian kawasan pokok getah Atuk. Orang yang mencuci cawan perlulah berada di hadapan dari orang yang sedang menoreh getah. Seingat abah, abah sudah berada lebih 40 batang pokok di hadapan. Tiba-tiba kemaluan abah terasa gatal sangat. Abah pun melondehkan seluar. Didapati seekor pacat sedang berada betul-betul di atas kemaluan abah. Abah pun lari lintang pukang mendapatkan Atuk. Atuk kemudian membuang pacat tersebut sambil ketawa terkekeh-kekeh. Seingat abah waktu itu abah baru berusia 10 tahun.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s